Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, May 28, 2013

Salah faham mengenai `poligami itu sunnah'


Segelintir orang gemar menggunakan ayat 'Poligami itu sunnah,' hingga membekaskan kefahaman kepada sebahagian masyarakat bahawa, poligami itu digalakkan dalam Islam, mulia dan menjadi keperluan untuk dilakukan oleh semua lelaki Muslim yang berkemampuan meskipun tiada apa-apa darurat yang mendesaknya.

Namun anehnya, golongan yang menyebut-nyebut 'poligami itu sunnah' tidak pula menyebut 'perceraian' dan 'perhambaan' itu sunnah sedangkan 'perceraian' dan 'perhambaan' juga turut dilakukan oleh Nabi. Apa pula alasan mereka ketika meninggalkan ayat 'perceraian itu sunnah' dan 'perhambaan itu sunnah?'

Mari kita kaji tentang maksud 'sunnah' agar kita bukan sahaja 'tahu' secara tepat tetapi perlu 'faham' secara jelas.

Sunnah di sisi Fiqh adalah sesuatu perbuatan yang sekiranya dibuat mendapat pahala, sekiranya ditinggalkan tidak berdosa, atau pendek kata ia digalakkan.

Sunnah di sisi ahli hadis lebih luas maksudnya meliputi kata-kata Nabi, perbuatan Nabi, persetujuan Nabi (Taqrir) dan sifat Nabi daripada sudut fizikal dan akhlak.

Sunnah di sisi para ahli usul pula dihadkan kepada kata-kata Nabi, perbuatan Nabi dan persetujuan Nabi (Taqrir)  kerana ia mempunyai kesan hukum.

Mungkin orang yang mengungkapkan ayat 'Poligami itu sunnah' bermaksud mengatakan ia sunnah secara umum, iaitu sunnah yang meliputi semua perbuatan Nabi. Namun, ayat ini selalu difahami oleh masyarakat daripada sudut pengertian hukum fiqh (iaitu digalakkan).

Kekeliruan 'sudut pandang' menyebabkan pencinta-pencinta sunnah yang baik dan beriman berasakan perlunya mereka melaksanakan poligami walhal jumhur ulama berpandangan Islam tidak menggalakkannya malah mengawalnya dengan ketat dan payah apabila mensyaratkan 'adil'.

Ada sesetengah golongan yang berhujah mahu menyebut  begini, "Poligami itu sunnah tetapi hukumnya bukan sunat dan bukan digalakkan." Hmm, ok tapi panjangnya ayat ni! Faktanya, Rasulullah bermonogami selama 25 tahun dan berpoligami selama 10 tahun sahaja pada akhir usia baginda, maka sunnah bermonogami lebih mendominasi daripada berpoligami. Sudut pandang ini perlu dijelaskan kepada masyarakat bersama kejelasan hukum asal poligami bukannya sunnah.

Sudut pandang sebenar yang perlu difahami ialah poligami cumalah sebagai 'rukhsah' dalam masalah-masalah tertentu, bukannya digalakkan. Inilah pendapat jumhur ulama'. Asal perkahwinan Muslim ialah berkahwin satu seperti kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dikuatkan lagi dengan hujah-hujah ulama' di dalam buku yang terkenal seluruh dunia, Al-Fiqh waadillatuhu bahawa sesungguhnya peraturan berkahwin satu adalah lebih baik dan ia mendominasi dan ia adalah asal di sisi syarak. Manakala poligami adalah perkara yang jarang, pengecualian (dalam masalah-masalah tertentu) dan bercanggah dengan asal syarak.

Hukum asal yang lebih tepat bagi poligami menurut jumhur ulama adalah harus, bukannya sunnah. Ia mempunyai dalil-dalil yang kuat oleh jumhur ulama bagi meletakkan hukum asal ini. Manakala hukum asal bagi perkahwinan 'monogami' ialah sunnah. Hukum asal bagi perkahwinan 'monogami' ini memang disepakati, maka memang wajar mengatakan 'monogami itu sunnah'.

Jadi, wajarkah terus menggunakan perkataan 'poligami itu sunnah' dengan hujah menggunakan takrif ahli hadis dan ahli usul, sekiranya nanti masyarakat memahaminya sebagaimana takrif Fiqh?

Maka pada hemat penulis, ayat 'Poligami itu sunnah,' wajar ditinggalkan sebagaimana wajarnya kita meninggalkan ayat 'Perhambaan itu sunnah', 'Pemerdagangan orang itu sunnah,' 'Perceraian itu sunnah.'Supaya masyarakat tidak keliru dan memahaminya sebagai suatu galakan, lantaran Nabi memang melakukan hal-hal ini atas sebab-sebab yang tertentu sebagai rukhsah apabila darurat mengikut konteks zaman itu.

Bagi lebih memendekkan perkataan, tinggalkan sahaja ayat "Poligami itu sunnah" dan bertukar kepada ayat, "Poligami cuma harus." "Poligami cuma rukhsah." Sudut pandang ini lebih menjernihkan Islam daripada fitnah golongan orientalis dan missionary sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa mereka mendakyah Islam ini agama poligami sedangkan poligami dalam Islam bukan perintah, bukan pula digalakkan. Dakyah mereka ini menyebabkan berlakunya islamphobia di Barat terutamanya di kalangan wanita-wanita seluruh dunia. Mari membela Islam dari fitnah!

- Artikel iluvislam.com
Ustazah Fatimah Syarha Merupakan seorang penulis buku novel tauhid terkemuka di Malaysia. Beliau banyak menghasilkan novel tauhid yang laris di pasaran. Beliau berkongsi karya di http://sebarkanbahagia.blogspot.com .

No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home