Malam-Malam, Tetap Nasi
Saya makan nasi untuk makan malam. Saya tidak
makan mee, spaghetti, roti atau buah-buahan sebagai ganti makan malam. Saya
juga tidak makan biskut sebagai makan malam. Saya bukan tikus. He he.
Jarang sangat saya tidak makan nasi waktu
malam. Bagi saya, makan malam ialah makan yang paling penting. Macam mana badan
hendak berehat kalau khasiatnya tidak cukup? Macam mana badan hendak pulihkan
diri kalau makanan yang masuk pun tidak seberapa? Ada pakar kata sarapan ialah
makanan paling penting. Biarlah mereka hendak kata apa pun. Saya tetap dengan
pendirian saya. Makan malam saya mesti ada nasi.
Dari Kecil Memang Makan Nasi
Saya dibesarkan dalam keluarga yang
malam-malamnya memang makan nasi. Begitulah sejak kecil. Balik kerja, balik
sekolah, malam makan nasi. Bukan makan roti, bukan makan biskut dan bukan makan
buah sebagai pengganti nasi. Nasi memang makanan utama kami.
Masa muda dulu, masak nasi bukanlah satu
masalah kerana saya memang tidak masak nasi pada waktu malam. Itu bukan rutin
saya. Rutin saya dahulu, selepas Maghrib keluar rumah. Pakai seluar dan baju,
siap sikat rambut, kemudian keluar makan dengan kawan-kawan. Kadang-kadang
tidak perlu fikir langsung tentang dapur.
Mudah hidup masa muda.
Bila Umur Sudah 50-an
Bila umur sudah masuk 50-an, makanan pula kena
lebih dijaga. Saya sudah pergi jumpa doktor di KMC. Doktor siap beri senarai
makanan yang saya boleh makan, makanan yang boleh makan tetapi dalam kuantiti
sedikit dan makanan yang saya perlu elakkan.
Jadi, lebih baik saya makan di rumah. Saya
masak nasi dan buat lauk sendiri. Lauk pun ringkas sahaja. Tidak terlalu masin,
tidak manis dan tidak menggunakan perasa tiruan. Sekurang-kurangnya saya tahu
apa yang saya masukkan ke dalam masakan. Saya boleh kawal kandungannya.
Tapi Sekarang Saya Malas Masak Nasi
Namun sejak akhir-akhir ini, saya pelik dengan
diri sendiri. Saya semakin malas hendak masak nasi.
Masak nasi bukannya susah. Basuh beras,
masukkan air, tekan butang. Sudah. Tidak perlu berdiri lama di dapur. Tidak
perlu kacau pun. Periuk nasi boleh buat kerja sendiri.
Tetapi entah kenapa, benda yang paling senang
itulah yang saya malas hendak buat.
Lauk pula saya rajin. Boleh pula saya fikir
hendak masak ikan apa, sayur apa, hendak tumis apa. Boleh berdiri di dapur dan
masak lauk dengan penuh semangat. Tetapi bila sampai kepada nasi, terus rasa
malas.
Mungkin sebab nasi itu terlalu senang.
Atau mungkin sebab nasi putih itu terlalu
putih dan tidak menarik. Tidak ada warna. Tidak ada gaya. Kalau hendak bagi
warna pun, takkanlah saya hendak bubuh sumba dalam nasi?
Bukan hendak buat kek pelangi. He he.
Adakah Ini Sebab Umur?
Saya tidak tahu sama ada rasa malas
masak nasi ini memang perkara biasa bila umur semakin bertambah, atau saya
seorang sahaja yang mengalaminya. Sebenarnya bukan saya tidak mampu masak nasi.
Boleh sahaja. Cuma mungkin bila usia meningkat, kita mula hilang sedikit mood
untuk melakukan perkara yang terlalu biasa dan berulang-ulang. Masak nasi itu
terlalu mudah, terlalu rutin dan mungkin sebab itulah saya mula rasa malas.
Sedangkan kalau difikirkan semula, nasi itulah makanan yang saya cari setiap
malam sejak kecil.
Semoga Malam Ini Masak Nasi
Apa pun,
malam ini saya harap saya ada kekuatan untuk masak nasi. Tak perlu banyak pun,
cukup sekadar untuk makan malam. Basuh beras, masukkan air, tekan butang dan
tunggu. Kalau nasi sudah masak, bolehlah makan dengan lauk yang saya sudah
rajin masak tadi. Begitulah hidup sekarang, lauk boleh rajin, nasi pula kena
dipujuk. He he. Semoga malam ini ada nasi di atas meja. Sebab saya ini orang
lama. Malam-malam,
tetap nasi.
No comments:
Post a Comment