Mati tapi hidup
Dalam malam ada bulan
dalam bulan ada syahdu
dalam syahdu ada sayu
dalam sayu ada sepi
dalam sepi ada pilu
dalam pilu ada rindu
dalam rindu ada adik
Dalam adik ada Abang
dalam abang ada mati
dalam mati ada hidup
dalam hidup ada mati
Dalam mati ada hidup...
Abang menulis puisi tersebut sebaik sahaja Abang sampai ke rumah. Abang cepat-cepat ambik pen dan menulisnya.
Ilhamnya datang bila Abang melihat bulan di langit. Bulan nampak terang sedangkan beberapa hari lalu dia tidak muncul sebab hujan. Hujan pada waktu malam. Di tempat pakir kereta Abang terpaku melihat bulan, lantas Abang melihat ke dalam hidup Abang...
Menulis puisi sangat sukar sebab seluruh jumlah perasaan harus disatukan dengan ringkas dalam bentuk ayat yang tepat untuk mewakili perasaan dan makna. Perasaan Abang dan makna hidup Abang.
Bila adik tiada, Abang dapat membezakan erti `pilu' dan `sayu'. Ia berbeza makna dan perasaan kepada Abang. Perpisahan mengajar Abang menjadi lebih peka terhadap segala-galanya. Sehinggakan Abang rasa takut untuk menempuhi hidup. Abang jadi pesimis dan penuh curiga...
Dunia puisi sangat pelik. Pantai ada gigi. Maksud Abang penggunaan ayat `di gigi air'. Maknanya air ada gigi dan maknanya bukan manusia sahaja ada gigi. Maka tidak pelik sangatlah kalau Abang kata `Abang mati dalam hidup'...
Tiga minggu lepas Abang telah dilantik menjadi Ketua Unit subjek ekonomi oleh Ketua Jabatan Abang. Entah kenapa Abang tidak menolaknya walaupun Abang tidak pernah mengejarnya. Dalam hati Abang jika Ketua Jabatan rasa Abang layak, Abang akan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Abang tidak bercita-cita tinggi. Tidak pernah pun bercita-cita mahu jadi Ketua Jabatan dan sebagainya. Abang rasa tidak perlu...mungkin setelah adik tiada, tiada lagi cita-cita yang bermakna kepada Abang.
Dan orang yang hidup dalam mati, keupayaannya sangat terbatas...
No comments:
Post a Comment