Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Wednesday, August 24, 2022

Kehilangan telefon bimbit dan beg duit seolah kehilangan sedikit dari jiwa dalam diri...


Apa yang dirasai ialah rasa sedih, sesal dan serabut perut. Memang sedih sebab banyak benda penting dalam beg dan telefon tersebut. Saya merasa sesal kerana tidak berhati-hati. Sedih dan sesal tersebut membuatkan rasa serabut perut. 

Saya tidak menduga perkara ini akan berlaku lagi. Sedikit panik menjelma, cuma saya lebih tenang menanganinya berbanding zaman muda saya dulu.

Saya pernah kehilangan beg duit sekali sebelum ini. Ini kali kedua. Mengenai telefon bimbit pula saya sudah beberapa-kali kehilangannya. Semuanya atas kecuaian diri. Tiada pihak yang boleh dipersalahkan. Cuma kali ini kehilangan itu berbeza, kehilangannya secara serentak. 

Paling logik telefon bimbit dan beg duit tersebut saya letakan di atas kereta (bukan di dalam kereta). Ia mungkin tercampak di mana-mana tempat sepanjang perjalanan.

Saya mula sedar kehilangan tersebut pada pukul 6.15 pagi semasa memandu ke rumah sahabat. Saya ambil keputusan untuk berulang ke Muadzam Shah kerana esok sudah hari sabtu. Pada hari khamis saya bertugas di sekolah Menengah Kebangsaan Astana (berikutan dengan keputusan STPM telah dikeluarkan).

Gerak hati saya, saya telah kehilangannya. Ia bukannya terselit di mana-mana atau saya lupa letak. Semua sudah tiada... saya tidak akan mendapatkannya kembali.

Ramai kawan berpendapat saya terlupa letak. Saya tidak boleh komen apa-apa mengenai sangkaan mereka kerana biasanya saya memang seorang yang kelam kabut. He he he.

Setibanya saya di tempat kerja saya menelefon Bank Islam untuk meminta blok kad ATM. Saya sempat bertanyakan baki di akaun, Alhamdulillah ada. Dan saya berharap benar untuk dapatkan RM1 juta cabutan bank Islam tersebut. He he he.

Kad ATM kedua yang saya block ialah Maybank. Saya tidak ada banyak duit di Maybank. Ia sekadar bank `terima gaji', dan untuk saya transaksi ke bank-bank lain, atau ke Shopee atau membuat pembayaran lain. Kira akaun `singgahan'.

"Langkah pertama Man mestilah blok dulu kad-kad ATM". kata sahabat saya.

Langkah kedua keesokannya saya ke balai polis untuk melaporkan kehilangan tersebut. Semasa disoal-siasat, saya gagal menyebut jenis telefon yang saya miliki. Saya cuma beritahu yang pasti telefon saya bukan jenis Samsung... (Ini mungkin sesuatu yang pelik. Tapi itulah saya. Kesian polis tersebut. Namun sekurang-kurangnya dia ada pengalaman mengendalikan orang yang tidak tahu jenama telefon bimbit yang dipakainya).

Apabila ada surat polis barulah saya ke pejabat Celcom untuk dapatkan sim kad baru. Tetapi gagal kerana saya mesti ada kad pengenalan untuk dapatkan sim kad baru. 

Terima kasih kepada Najib Tun Razak, saya hanya ambil masa sejam untuk dapatkan kad pengenalan di UTC Kuantan. Pemuda pengaunter yang sangat muda tersebut ada menasihati saya supaya berhati-hati menjaga kad pengenalan. Saya rasa pelik sebab orang yang terlalu muda menasihati saya yang tua ini. Tetapi nada nasihatnya amat berhati-hati dengan tonasi yang teragak-agak sopannya. Saya cuma rasa janggal tetapi ia adalah suatu yang betul, pelanggan perlu dinasihati.

Saya perlu bayar RMXXX untuk denda dan RMXX untuk pemprosesan.

Selepas itulah saya pergi dapatkan telefon bimbit baru dan ke pejabat Celcom semula. Sempat saya bayangkan bagaimana kalau orang tak ada duit menghadapinya?

Pada hari isnin saya ke JPJ untuk mendapatkan lesen ganti dan kad-kad ATM yang baru...

Dan dua tiga hari selepasnya saya masih rasa sedih (serabut perut sudah tidak saya rasai...). Kehilangan ini seolah kehilangan sedikit dari diri ini. Walaupun sudah ada beg baru dan semua baru, saya tetap rasai `kehilangan' itu...

Tetapi tentulah ianya bukan kehilangan terbesar yang pernah saya lalui dalam hidup... Saya pernah kehilangan separuh dari diri saya...

Saya sedar, kecuaian merupakan kos...

Wednesday, August 17, 2022

Kerja jadi cikgu pun hati tak tenang...

Ehsan

Beberapa rakan saya yang bekerja menjadi guru, berhasrat untuk pencen awal.

"Tak sabar dah Man..." Kata mereka.

Saya bertanya kenapa mahu pencen awal, menjadi guru seronok sangat.Saya ada pengalaman bekerja menjadi guru. Pada pertengahan tahun 90an. Di mana tiada lagi penggunaan komputer di sekolah. Malah saya menggunakan mesen taip dan `gelek' sekolah untuk mencetak nota kepada pelajar. Pada masa tersebut perkara yang paling kena buat adalah menyediakan pengajaran untuk minggu hadapan.

Semasa saya menjadi guru, guru memang menumpukan kepada pelajar, tiada kerja pengkeranian.

Namun kata kawan saya sekarang cikgu dibebani banyak kerja, dan tidak ada usaha serius untuk mengurangi bebanan cikgu. Malah mengajar menjadi kerja sampingan. 

Saya tidak faham apa yang telah berlaku di sekolah. Tetapi dapat saya bayangkan dengan perubahan zaman, dengan adanya generasi pelajar yang manja dan makbapak yang rasa lebih cerdik dari cikgu...tentulah banyak kerja yang mahu dibuat. Yang perlu dibuat.

Saya harap saya salah, tetapi kawan saya kata saya betul...



Tuesday, August 16, 2022

Tingkatan 6 dan PPYIT : Saya tidak malu...

Saya tidak malu untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. 

Setelah tamat tingkatan 5, memang tingkatan 6 lah antara haluan yang saya ada. Dengan keputusan SPM yang cukup makan, saya ada membuat permohonan ke ITM (kini UITM) untuk pogram pra, tetapi tidak berjaya. Saya tidak rasa sedih, tidak pula rasa terkilan. Malah saya tumpang gembira apabila mendengar berita kawan-kawan dapat melanjutkan pelajaran mereka di ITM (UITM) dan beberapa institusi pengajian yang lain.

Tidak ada kurangnya STPM, dengan sijil STPMlah kakak sberjaya masuk UUM. Dan tentulah saya akan ikut jejak kakak saya. Itulah yang saya fikir.

Saya kembali ke PPYIT. Saya rasa lebih elok saya naik tingkatan enam di PPYIT berbanding SMTM. Ia lebih dekat dengan rumah saya. Dari rumah saya, boleh nampak bumbung sekolah. Boleh jalan kaki sahaja.

Di tingkatan enam rendah, saya mendapat ramai kawan baru dari serata daerah saya. Kawan baik saya antaranya Rosihan Alor Lintang (kini cikgu), Hasnah Alor Lintang (kini cikgu), Zainuddin Kuala Besut (kini cikgu), Azam Kuala besut (kini arwah) dan Sabri Kuala Besut (kini cikgu). Kebanyakan darinya sudah `lost kontek'. saya sudah tidak berjumpa mereka.

Saya juga diajar oleh cikgu-cikgu yang muda belia. sangat muda, baru keluar dari universiti. Ketika saya belajar, mereka mungkin belajar mengajar saya. (Seorang kawan saya ada cuba mengorat cikgu Sejarah, tetapi tidak berjaya. Saya beritahu mungkin tidak berjaya kerana cikgu tersebut mahu perempuan yang pandai. He he he).

Hanya beberapa bulan, saya sudah terpengaruh dengan Cikgu Zaiton. Beliau selalu menceritakan  keseronokan belajar ekonomi di UM, dekat dengan ibunegara Kuala Lumpur. Setiap minggu boleh tengok wayang, dan dalam UM pun ada panggung wayang katanya. Saya nekad mahu belajar ekonomi di UM. Netang nerap. 

Cikgu Zaiton menasihati saya supaya belajar ekonomi rajin-rajin. Bersungguh betul dia mengajar walaupun saya rasa dalam kelas kami itu hanya beberapa kerat jea yang faham. Kalau dapat P dalam subjek ekonomi, dia akan bagi RM50. Cikgu Zaiton orang Kuala Besut, sekarang dia tentu sudah pencen. Semoga dia sihat selalu. Amin.

Saya lalui pengajian STPM dengan bersungguh-sungguh di tingkatan enam rendah dan enam atas. Bangunan kayu tersebut banyak meninggalkan kenangan, tempat cita-cita bermula. 

Dan saya beruntung kerana semasa di tingkatan enam atas, ada kawan-kawan sekelas saya yang pernah ambil STPM. Termasuk yang mengambilnya untuk kali ke 3. Mereka ini beri tunjuk ajar pada saya. Mereka kata `Kita akan masuk universiti bersama-sama...". Terharu saya.

"Awak ni Sukiman, serba manika..." Kata seorang kawan saya, Azam yang gedeber. Sebenarnya walaupun saya belajar bersungguh-sungguh, saya tetap ke Kota Bharu pergi tengok wayang, dan buat rambut di bandar Jerteh. Saya bosan dengan fesen rambut yang sama. 

Semasa saya di tingkatan enam atas, saya juga ada menulis surat layang kepada pengetua, sebab saya rasa ada ketidakadilan berlaku. He he he. Saya kecut perut juga apabila pengetua masuk kelas beritahu dia terima surat layan, dan terus kawan-kawan saya memandang ke arah saya.

Mungkin dunia pelajar 30 tahun dahulu tidaklah mencabar mana, kami masih berjaya tumpukan pelajaran walaupun ada la galok sana sini. Dunia kami tidak di kelilingi K-Pop, talifon bimbit, internate, tiada shopee, tiada PH, tiada youtube, tiada netflix, dan tiada orang bodoh yang buat macam-macam di internat.

Cikgu-cikgu PPYIT muda-muda. Walaupun tidak berpengalaman tetapi sangat bersemangat mengajar saya. Buktinya bila markah kita rendah, cikgu pula sedinya lebih-lebih. He he he. Cikgu Alias ketua kelas saya, dia sangat tegas walaupun agak manja. Cikgu Zaiton pula cantik...he he he. Mereka selalu berbincang mengenai pelajar mereka di bilik guru. 

Cikgu Alias kata dengan pelajaran kita dapat ubah diri kita...dan banyak lagi dia berleber bila kami tidak buat apa yang disuruh. kalau dia masuk kelas dengan mata yang tajam tu alamaknya adalah `drama'nya nanti. "Ambil STP ni kena rajin membaca, paling kurang 4 jam sehari. Pengajian Am penting, tak lulus Pengajian Am tak luluslah STP ", katanya dengan serius. Saya ikut nasihatnya. Alam persekolahan saya, ramai cikgu datang dan pergi tetapi kata-kata cikgu Alias berbekas di hati.

"Bo bo la belajar, kawin puloklah, tua doh" kata seorang pemuda di depan kedai Kak Moh kepada kawan baik saya, Hasnah. Masa tu lintas jalan nak balik rumah saya. (Hasnah tinggal di rumah saya masa ambik STPM). Saya dan Hasnah buat-buat tak dengar. Saya yakin kata-kata itu ditujukan kepada Hasnah, bukannya saya. Memanglah pada mana-mana zaman pun akan ada orang yang bersikap negatif bila ada orang lain nak mengubahbaik kehidupan. Emmm...

"SPM pun tok ke mana, nok ambil STPM hok jauh lagi susoh" Kata seorang saudara saya yang membuatkan cuping telinga saya merah. Gitu jea dia sembur. Tapi saya tidak jadikan ianya satu pematah semangat. Saya mesti masuk universiti! saya nak tengok wayang, warna rambut dan ke Zoo Negara.

Sampai sekarang saya rasa bertuah kerana saya ambil STPM. STPM penuh dengan ilmu pengetahuan (terutama pengajian AM). Saya masih ingat lagi muka cikgu Alias hari tu. Sebaik sahaja saya habis ambil periksa mata pelajaran saya menuju ke rumah sewanya untuk memeriksa Pengajiam AM kertas satu. Saya mahu dia semak jawapan 75 soalan objectif yang saya berikan. 

"Tiada satu pun yang salah!" Katanya. Saya melihat mukanya gembira sangat. Mungkin dia rasa puashati. Segala semangat dan cita-cita dia saya sudah tunaikan. Saya mahu dia gembira. Dia banyak berkorban usia mudanya untuk kami. Dia boleh sahaja cari kerja lain tetapi bertahun-tahun dia berada di PPYIT. Tidak kenal penat lelah.

Ada banyak lagi kisah semasa saya menjalani kehidupan berSTPM. Kenangan tersebut manis-manis belaka. Melalui masa semuanya menjadi manis walupun masa kejadian itu ia amat mengharu biru kan, he he he.

Sekarang saya dengar pengajian STPM tidak mendapat sambuatan. Saya rasa iannya patut mendapat sambutan keran suasana belajar yang unik dan nilai sijilnya yang lebih luas. Kalau sijil matrikulasi mungkin tak laku pun. Mungkin masyarakat sudah punya banyak wang dan pilihan melanjutkan pelajaran lepas SPM lebih meluas.

Tetapi STPM tetap di hati. Hidup STPM, hidup PPYIT.

 



Monday, August 1, 2022

Mat Kilau: Kejayaan keluarga Yusuf Haslam

 



1. Pada mulanya saya tidak berniat untuk tengok filem ini. Seingat saya, saya tidak pernah ke panggong untuk filem Yusuf Haslam (Dato) atau anaknya Syamsul Yusuf. Mungkin kerana tema filem mereka bukan tema yang saya gemari. Tema `Percintaan yang berjaya' dan `filem aksi' bukan makanan saya. Namun, sebagai peminat cerita seram saya ada menonton filem seram Syamsul, tetapi bukannya di pawagam. 

2.  Apabila filem kutipan Mat Kilau mencecah RM81 juta, saya rasa tentu ada yang menarik dan unik. Saya terlebih dahulu menyarankan pelajar-pelajar saya melihat filem ini. Majoriti mereka berpuashati. 

3. Semasa menjadi mahasiswa, kalau ada filem-filem yang menarik, pensyarah saya akan cadangkan untuk pergi tengok. Saya masih ingat lagi pensyarah saya menyarankan pergi tengok `Dance with the wolf' (1990) untuk melihat keadaan dan budaya kaum Red Indian.

4. Maka pada pagi ahadnya saya ke panggong. Ya allah ramainya. Saya tidak rela mempamirkan diri saya dalam satu barisan yang panjang. Saya terus balik (tanpa singgah ke kedai Port Meriang yang jual pinggang mangkuk yang cantik). Dah lama saya mahu beli bekas cantik untuk letak makanan kucing. (Kucing jiran saya). 

5.Saya berniat dalam hati `Aku kena ambik cuti ni, hari-hari kerja tentu tak ramai sangat orang'. Saya tidak suka beli secara `online'. Mungkin saya sudah berusia...?

6. Dan bila tiba harinya, saya masuk panggong melihat cerita ini. Kesimpulannya saya suka cerita ini. saya tidak rasa cerita ini merugikan wang saya. Malah saya rasa bertuah kerana sempat melihat filem ini. Saya jadi kagum dengan Syamsul Yusuf. Keunikan dia berganda berbanding dengan ayahnya. Tetapi tidaklah begitu adil untuk kita membuat perbandingan kerana mereka berlainan zaman. lainlah kita ini ahli filem yang sangat berpengalaman dan berakademik.

7. Membuat filem bukanlah cita-cita kebanyakan orang Malaysia. Lebih ramai mahu anak mereka membesar menjadi guru, doktor atau ahli `youtuber' yang berjaya. Kita orang biasa ni mungkin rasa resah jika cita-cita anak kita mahu jadi penerbit filem atau pengarah filem. Bila anak kita nak masuk ASWARA, kita paksa anak kita jadi doktor, atau guru. Haaaa....

8.Memang kebanyakan ibubapa mungkin mengharap cita-cita anaknya berubah kepada yang lebih `menjaminkan selain daripada bidang seni. malah ada keluarga seni yang tidak menggalakan anak mereka ceburi seni, malah memomok kepada anak-anaknya betapa tak eloknya dan tiada jaminanya dunia seni. Namun keluarga Yusuf Haslam (Dato) hebat. ternyata ada lagesi yang ditinggalkan, berbekas dalam sejarah perfileman Malaysia.

9. Barangkali persekitaran dan galakkan keluargalah yang membentuk keunikan Syamsul. Mereka melihat dunia perfileman adalah perniagaan, bukanlah suatu yang boleh main-main. Mereka selalu belajar. Mungkin dari kecil lagi Syamsul mahu cepat-cepat besar dan menjadi pengarah yang hebat. 

10. Kembali kepada cerita Mat kilau. Kali ini saya betul-betul masuk panggung bukan sebagai pengkritik. Saya mahu merasai `semangat cintakan tanah air' filem ini. Hasilnya saya berpendapat filem ini berjaya menyuntik semangat dan banyak perkara positif yang lain. Kalaulah ada masa tentu saya akan tengok sekali lagi. Tetapi dengan kesibukan ini saya rasa mustahil. 

11. Terima kasih Yusuf Haslam. Terbukti keluarga mereka berjaya memeriahkan dunia perfileman Malaysia. Dalam lingkungan ekonomi dan sosial masyarakat kita sebegini, filem ini sudah jauh melebihi `standard' yang sedia ada. Filem ini sebenarnya berat tema dan persoalannya tetapi berjaya dikomersialkan. Janganlah pula kita banding dengan filem Hanyut dan juga siri Lord of The Ring atau  siri Hobbit gitu. Insyallah Syamsul ke arah itu, jika kita memberi respon terhadap filem-filemnya pada masa akan datang..

12. Tema pahlawan ternyata boleh jual. Rupanya... Mungkin suatu hari nanti ada penerbit mahu filemkan Pemberontakan Tani di Terengganu 1928 - Haji Abdul Rahman Limbong. Kisah tragis yang berlaku hampir 100 tahun dahulu, yang mungkin rakyat negeri Terengganu sendiri sudah lupa... Melayu mudah lupa kata Tun Mahathir.

13. Pujian saya untuk lakonan yang sangat hebat Yayan Ruhian, Beto Kusyairy, Adiputra dan Ellie Suriati (walaupun Ellie muncul sekejap). Pemilihan pelakon majoritinya bersesuaian dengan watak. Tak kan la  nak amil Arong Aziz untuk watak Wahid. 

14. Pelakon juga memainkan peranan kerana penghayatan merekalah yang menimbulkan gema dalam gejolak jiwa penonton. rasa `real'. Pelakon seperti Rahim Razali, Jalaludin Hassan, Mubarak Majib memang tidak perlu dipertikaikan lagilah. 

15. Kalau saya boleh sebut mengenai kekurangan filem ini, mungkin `endingnya' boleh diperbaiki. Dan warna baju orang kampung tersebut. Tetapi yealah setiap orang, lain pemikirannya.

16. Moral,pengajaran dan persoalan selepas saya masuk pawagan tengok filem ini.

a) Orang Melayu memang payah bersatu. Atau memang sifat manusia begitu? Maksud saya bukan orang Melayu sahaja...
b) Bukanlah satu cara yang senang untuk nenek moyang kita pertahankan tanah air ini dari bangsa penjajah. Jangan ingat kemerdekaan kita itu 100% dari perundingan Tunku dan kumpulannya. Ada wira-wira lain yang tak belajar di London tapi sangat sayangkan tanah air.
c) Perjuangan mendapatkan dan mempertahankan tanah air memerlukan segala pengorbanan, termasuk nyawa keluarga. Anak bini.
d) Dah bawa anak-anak ke pawagan, jagalah anak-anak itu jangan biarkan anak-anak`gi mari-gi mari' buat bising. Ini bukan Pesta Rakyat.
e) Pada masa hadapan saya akan menyokong dedikasi filem-filem Syamsul.
f) Yusuf Haslam berjaya membentuk anaknya, menyambung legasi perfilemannya.
g) Walaupun ekonomi tengah sakit, RM80 juta lebih telah berjaya dikumpul. Mungkinkah bila tension mereka memerlukan hiburan...? atau yang pergi adalah majoriti golongan T20?


Saya bagi 4.8/5 bintang

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home