Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Wednesday, June 29, 2022

Hanya 20% rakyat Malaysia berjaya dan bahagia?

 




Apabila saya mencapai umur 50an barulah saya mula bertanya berjayakah saya dalam hidup? Pernah tak bertanya pada diri "Adakah aku ini termasuk dalam golongan yang berjaya atau gagal dalam hidup?

Wah, sungguh keliru untuk menjawapnya kerana definasi kejayaan itu adalah berbeza. Dan jelas sekali banyak wang juga bukan merupakan syarat utama. Ini boleh kita lihat sendiri di media massa atau orang di sekeliling kita yang banyak duit dan harta tetapi hidup seolah huru hara. Boleh lihat ahli politik, artis atau ahli perniagaan...misalnya.

Pernah di dalam satu group wasap, saya dicop sebagai hidup tidak sempurna kerana tidak ada isteri dan anak-anak. Saya tidak terkejut apabila kawan saya itu menulis sedemukian rupa sebab 15 tahun dulu pun saya sudah tahu dia bodoh. Cuma saya terkilan apakah faedahnya menulis di wasap group sedemikian rupa? 

Tetapi itu antara buktinya kawan saya yang baik itu (tetapi bodoh) mewakili manusia yang berfikiran demikian. Pada pandangannya hidup saya tidak sempurna. Saya rasa memanglah hidup saya tidak sempurna tetapi masih ada ruang untuk saya bahagia dan berjaya, dan tidak perlu ditulis dalam wasap group. He he he

Ramai orang akan kaitkan kejayaan hidup dengan wang dan harta. Sebab dua perkara tersebut adalah eleman yang boleh memuaskan kehendak hati dan keperluan hidup. Namun seperti yang saya beritahu sebelumnya, ia bukanlah pula satu perkara yang mesti

Jika kita berpandangan demikian (hanya yang berpendapatan tinggi akan berjaya dan bahagia) maka ya golongan T20lah yang hanya akan bahagia... Hanya 20% rakyat malaysia berjaya dan bahagia. Tentulah ianya sangat mengarut!

Tuesday, June 14, 2022

Sekolah Menengah Tengku Mahmud is always in my heart: Part two

 


"Mungkin apabila sudah tidak banyak perkara atau benda yang kita hendak dikejar dalam kehidupan ini, kita mula semakin memerhati apa yang terjadi di sekeliling kita, dan mula sering mengingati perjalanan hidup kita telah yang lalu…"
Dan zaman persekolahan tetap di ingatan…
Keputusan ujian penempatan kelas itu akhirnya menempatkan saya di Tingkatan Satu Perdagangan 2 (IP2). Huruf P tersebut rujuk kepada `Perdagangan’. Sebenarnya saya tidak kisah ditempatkan ke kelas manapun, asal jangan kena masuk kelas yang kena gergaji kayu sudah.
TMS pada tahun 1983 ada 3 kelas perdagangan. Kalau tak silap, 1P1, 1P2 dan 1P3. Pelajar dikatogerikan kepada kelas-kelas tersebut berdasarkan ujian yang telah dibuat sebelum ini. Kelas-kelas lain ialah kelas RK (Rancangan Khas), kelas-kelas aliran sastera dan sains rumahtangga/kelas seni perusahaan. Saya tidak berapa ingat tetapi lebih kurang begitulah pembahagiannya.
(Saya tentulah tak mahu masuk kelas seni perusahaan sebab khabarnya kena gergaji papan bagai, dan tukul paku ke kayu. Baiki alat elektrik. Emmm...Gitulah kawan beritahu.)
Di sekolah baru, di kelas baru, perkara semuanya baru. Bilik darjah besar, dan ada padang yang luas, berbeza dengan sekolah rendah saya. Kelas ada tingkap, boleh lompat keluar...
Saya dapat ramai kawan baru. Saya tidak ada banyak masalah dalam berkawan kerana saya ikut sahaja perangai kawan-kawan saya.
Paling menarik perhatian saya di IP2 ialah ada kawan baru yang pakai baju biru macam mahu mengecat rumah. Baju itu macam skit tapi bukan skrit. Baju terus bersambung dengan skirt. Itulah yang ada di fikiran saya 40 tahun lalu... Antara kawan sekelas saya yang memakai pakaian ini adalah Li Lin Eng dan Lua Geok Cheng.
Kawan baru gelagat baru. Ada juga Johinah yang pandai melukis, Wan Adilah dan Rozila yang sentiasa banyak bercakap dan juga Kamarul (Kokok) yang serius dan suka perati orang. Juga Shanie yang sentiasa riang. Semoga mereka semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu.
Selain dapat ramai kawan baru, saya juga seronok pergi ke sekolah menengah kerana dapat naik bas. Saya suka duduk di tempat duduk tepi dan buka sliding dia biar angin masuk hembus muka saya. Tapi saya selalu kena marah sebab budak perempuan kata rosak tudung mereka. Emmm.
Saya juga suka pakai seluar panjang sebab boleh tutup jahitan 12 inci di betis (saya akibat kemalangan jalanraya masa darjah 3). Saya pakai seluar pendek sehingga darjah 6. Masa darjah 6 tu bulu kaki masih tak ada. Licin macam timun cina lagi. Masa sekolah rendah ada kawan saya yang kakinya sudah berbulu. Cikgu kata dia `curi umur’.
Tingkatan satu seronok. Kami sangat gembira sebab SRP (Sijil Rendah Pelajaran) masih tak ada dalam fikiran. Kira tingkatan 1 macam bulan madu betul, tingkatan 3 baru ada periksa besar. Namun, yang peliknya cikgu-cikgu kami tetap bersungguh-sungguh mengajar kami... [kecuali cikgu Jasmani...mereka tidak berniat melatih kami untuk menjadi athelit, kalau tak mungkin saya dan kawan-kawan dapat wakili negara ke OMK (Olimpik Musim Kemarau)].
Walaupun tiada `exam' besar, cikgu-cikgu pada masa itu sangat menitik beratkan pelajaran. Macam sekolah berasrama penuh pula. Mereka mengajar bersungguh-sungguh. Mungkin nak jaga nama baik dan pencapaian sekolah kot. Harumkan nama TMS di PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).
Saya paling minat waktu PJ (pendidikan Jasmani). Sebab kami boleh main bola atau saja-saja rehat. Saya jarang bermain bola. Kalau saya main, saya ada teknik tersendiri. Jika bola ke kiri saya akan melarikan diri ke kanan, bila bola ke kanan saya akan melarikan diri ke kiri. Saya cuba elak. (Cuba bayangkan dari tingkatan satu sampai tingkatan 5, he he he).
Seronok bersekolah petang, tidak panas. 40 tahun dulu waktu petang tak panas, leni pukul 5 petang pun masih panas ketok.
Dan sesungguhnya saya lebih banyak tengok orang main bola atau berada di belakang tiang gol. Kadang-kadang saya duduk bawah pokok rhu berdekatan dengan padang. Atau tepi makmal sambil tengok orang main bola. Dan juga korek-korek pasir celah pangkal pokok rhu atau kopek kulit pokok rhu tersebut. Kalau nak lebih tersorok duduk bawah pokok bunga tanjung belakang makmal, tepi padang tu. Lagi redup.
Kadang-kadang saya tinggalkan padang pergi tengok pelajar perempuan main nekbol.
Sebenarnya ada juga tilam gimastik dalam bilik sukan, tapi tidak digunakan. Mungkin cikgu takut patah riuk pelajarnya. Nak heret tilam ke padang pun satu hal. Nak usung bagai... Kalau nak main gimastik cikgu mesti kena ada di situ awasi pelajar, kalau benarkan pelajar main bola dan nekbol bolehlah cikgu cilok ke bilik guru, ke.
Banyak juga kelab-kelab dan persatuan pada masa tersebut. Saya ada masuk Kelab Kerjaya, Kelab Hoki dan St Jhon Ambulans. Saya hanya sempat hadiri kelab St Jhon beberapa kali sahaja. Saya berhenti terus bila pelajar kena belajar buat CPR. Saya percaya ramai pejajar TMS pada tahun 1982 tersebut, tak gosok gigi.
Kelab hoki pula saya sempat pergi 3 kali, saya ambil keputusan berhenti setelah kawan saya beritahu ada pelajar Sekolah Kuala Besut tercabut mata sebab kena pukulan bola hoki.
Tinggallah hanya Kelab Kerjaya sahaja. Kelab ni `best' tak bahaya, dan kalau kita tak hadir pun orang tak perasan. He he he.
Manakala pelajaran semakin sukar tidak seperti sekolah rendah. Saya memang tidak suka matematik, tapi paling saya tidak suka subjek Sain Paduan. Bukan tidak suka pada matapelajaran tapi pada gurunya. Bengkeng sungguh cikgunya, tak mesra pelajar. Kalau tak balut buku kena cubit kat bahu. Kawan saya kena cubit, sakit sampai terangkat badannya. Samada dalam kelas atau makmal kalau tak dapat jawab kena berdiri. Kalau tertinggal buku kerja alamatnya kena balik rumah la ambil. Dan cikgu tersebut selalu menggunakan kata-kata kesat yang saya tidak suka, suka marah-marah. Setahun saya ketakutan dalam makmal. Kalah filem KKN Desa Penari (4/5) dan The Conjuring (5/5).
Masuk makmal seolah masuk rumah mayat. Kalau zaman sekarang tentu cikgu tersebut kena saman. Tapi kami tak beritahu ibubapa pun… Sebab? Sebab dia cikgu kita, dia mengajar ilmu kepada kita, apa yang terjadi juga sebab kekurangan kita. Dia mahu kita jangan main-main dengan kehidupan… Dia nak kita berdisiplin dan dapat markah
terbaik
, kehidupan
terbaik
.
Pada masa tersebut saya cuma ada cita-cita mahu masuk tingkatan 2P1. Rasionalnya kalau dari kelas tingkatan 1P2 dapat masuk ke tingkatan 2P1 adalah sudah cukup baik. Saya ada kenal seorang pelajar dari 1P1, dia beritahu dia takut nanti dia kena masuk 2P2. Saya kata jangan bimbang pelajar, pelajar 1P2 ini baik-baik belaka.
Namun saya tidaklah pula belajar bersungguh-sungguh sebab saya suka duduk di dalam kelas 1P2. Kalau saya tak naik ke 2PI pun tak apa asal semua kawan-kawan lain juga tak naik ke 2P1. Hujung tahun menjelma saya rasa tension, tension bukan sebab nak exam final tapi bimbang bertukar kelas dan tak bersama lagi dengan kawan-kawan 1P2. Gitulah dunia pada masa tersebut. Berpisah kelas seolah berpisah sekolah. Susah nak terang, hanya orang lama yang faham. BBNN tak faham situasi begini…
Nama guru besar pada masa tersebut ialah Cikgu Majid bin Ahmad (1982-1986). Kami tidak hiraukan sangat sebab kami di sekolah petang, dia ada hanya masa pagi. Tidak kiralah siapa jadi guru besar wahima `Hulk' pun sebab dia ada di waktu pagi sahaja.
Saya juga sudah pandai makan di luar sekolah. Ada kedai Mok Som. Ikan aya dia masak tu sedap. Kedai tu juga jadi tempat lepak, he he he. Dan ada kedai cina deret jalan ke Sekolah Nasaruddin Shah. Boleh beli kaset di situ, tak payah ke bandar Jerteh dah.
Indah sungguh zaman persekolahan, terima kasih. Semoga guru-guru yang mengajar kami mendapat berkat dunia akhirat atas ilmu yang diberikan.
Saya juga mahu berterima kasih kepada kawan-kawan saya, sama ada sekelas atau tidak kerana pengalaman dan kenangan zaman persekolahan dahulu. Semoga semua sihat sejahtera dan tabah hadapi peralihan zaman. Maafkan saya atas segala kesalahan dan kekurangan saya jika dulu saya tidak menjadi sahabat yang baik.
Resit ini sangat mengusik hati, tersenyum gembira dan sayu. Apabila melihat resit yang berusia 40 tahun ini, terasa benar bahawa dunia ini hanya satu perjalanan yang AMAT singkat (in the blink of an eye).
1P2 is always in my heart...


Sekolah Menengah Tengku Mahmud is always in my heart...

  


Tengku Mahmud Schoo (TMS) is always in my heart

Balik cuti hari tu, semasa berkemas, saya terjumpa la resit sekolah yang sudah berusia 40 tahun (1982). Ianya resit pembayaran pendaftaran tingkatan satu saya (1983) di Sekolah Menengah Tengku Mahmud (Tengku Mahmud School = TMS), Besut Terengganu.
Termenung sekejap tengok resit ni, tua benar dah saya.
Rujuk kepada gambar, resit pembayaran sebanyak RM12.50 ini untuk yuran Rampai (permainan, perpustakaan, dan seni lukis), dan yuran sukan seperti yuran MSST (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu) dan Yuran MSSDB (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Besut kot). Bayangkan semua yuran tersebut berjumlah RM12.50 sahaja. Sekarang mahunya beratus untuk perkara-perkara sebegitu. Tambahlah lagi sekarang serba maknika pogram ada termasuk untuk pogram bina jatidiri pelajar bagai.
Tapi yealah nilai duit 40 tahun dulu nilai kuasabelinya besar. Pada masa saya tingkatan satu tersebut, saya dapat duit belanja sekolah RM1.20 sehari. Tambang bas Pokda (Pengkalan Nyereh) pergi balik hanya 60 sen. Lebihnya 60 sen lagi saya makanan di kantin. Makanan murah. Siap boleh simpan duit beli kaset Sharifah Aini lagi dan Madonna lagi. He he he.
Sekolah Menengah Tengku Mahmud [Besut Government English School (1954] bukanlah sembarangan sekolah. Saya semakin tahu hal ini setelah saya meninggalkan sekolah tersebut. Dulu saya sangka ayah saya mahu masukkan saya ke sekolah tersebut sebab kakak saya juga bersekolah di situ. Jadi senang la urus kakak dan saya sekaligus.
Sekolah yang paling dekat dengan rumah saya ialah Sekolah Menengah Agama Maarif, lebih kurang 3 kilometer sahaja dari rumah saya. Tetapi saya tidak tertarik kepada agama (pada masa itu). Saya tahu ayah saya tahu akan hal ini jadi ayah pernah ugut `kalau Abang tak belajar rajin-rajin ayoh antar sekolah agama maarif’. Bila kena ugut terus saya dapat no 5 dalam kelas darjah enam. Sebelum tu dapat nombor duapuluh lebih rasanya, 22. Dalam belajar saya tidak pandai mana, suam-suam kuku, tak boleh fokus lama terutama angka-angka.
Sebenarnya sekolah Tengku Mahmud School (TMS) ini ditubuhkan sebelum merdeka lagi. Diberi nama Besut Government English School, (kira sekolah ni the first English medium school in Besut).
Sekolah lama, bangunannya lama. Ada bangunan tak pakai tingkap nako. Ia pakai tingkap macam tingkap rumah kita. Kira kita boleh melompat keluar dari tingkap tu masa cikgu mengajar. Bangunan tandas pula asing dari bangunan sekolah, kita kena berjalan di laluan menuju tandas besar. Bangunan tandas pula bangunan lama yang menakutkan. Ada pintu besar dan ada pintu besar lagi dalam tu. seram kalau pergi seorang diri. Biasanya kami pergi berteman.
Mungkin sebab ianya sekolah menengah pertama di daerah Besut, sukarlah nak masuk ke sekolah ini, kira permintaan banyak tapi penawaran sedikit (kalau dalam kuliah saya dah lukis keluk dah ni,). Maka pemilihan sengit berpanjangan...
Sekarang saya tak tahulah masih sukar atau sudah senang menembusi masuk ke sekolah ini sebab sekarang sekolah dah merata, dan dah ada pula diwujudkan Sekolah Tengku Mahmud II. Letaknya sebelah jea dengan Sekolah Menengah Tengku Mahmud. Tak faham saya.
Beberapa tahun lalu ketika saya ditugaskan menyambut dan memberi penerangan kepada beberapa orang pegawai luar untuk tujuan audit luaran universiti, setelah salah seorang pegawai tahu saya berasal Besut terus dia bertanya "Bersekolah di mana dulu? Dan apabila saya beritahu saya bersekolah di Tengku Tengku Mahmudl terus dia menyambung kata "Saya bersekolah di Sekolah Nasaruddin, Sekolah Tengku Mahmud tu untuk budak pandai..." Katanya sambal merendah diri.
Pada masa tersebut kembang lubang hidung saya, saya harap boss saya (yang berada di sebelah saya ketika itu) tahu walaupun saya kelihatan biasa-biasa dan agak kartun, namun saya pandai. He he he.
Pegawai tersebut orang Besut juga, umur baya saya lebih kurang. Sekolah beliau ini (Sekolah Nasaruddin Shah) terletak betul-betul di belakang sekolah Tengku Mahmud (jika dilihat dari sisi mengadap jalan besar).
Masa sekolah dulu, saya pernah beberapa kali terdengar pelajar lelaki sekolah saya begocoh dengan pelajar lelaki sekolah Nasaruddin. Dan pada masa tersebut saya selalu berharap dalam hati sekolah saya menang (walaupun itu bukan acara sukan antara sekolah-sekolah... Semangat sayang sekolah tetap ada). Gocoh = bertumbuk.
Sehingga awal tahun 80an tersebut, untuk memasuki sekolah ini masih juga sukar dan tapisan akan dibuat (pada masa tu kalau dapat masuk sekolah tu ibarat dapat masuk UM). Pelajar harus mendapat keputusan penilaian darjah 5 yang elok di sekolah rendah mereka. Dan markah darjah 6 dan kedudukan mereka dalam kelas juga diambil kira.
Pelajar terpilih terpaksa harungi banjir untuk jalani ujian di Sekolah Menengah Tengku Mahmud pula pada bulan 12 (sebenarnya pada masa itu pelajar masih bersatus `darjah 6'!). Dan apabila penggal persekolahan bermula tahun depan pelajar sudah tahu mereka ditempatkan di kelas mana. Sebab tu tarikh pembayaran resit adalah 26.12.1982. Supaya naik tingkatan satu pada tahun 1983 cikgu dok pening pala, urus itu ini.
Saya dapat masuk 1P2! Dunia baru saya di TMS bermula di 1P2 pada tahun 1983… Sekolah menengah berbeza dengan sekolah rendah. Cikgunya lain, pelajarnya lain. Lebih banyak suka….dan dukanya…

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home