Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Saturday, October 24, 2020

Siapa yang paling ramai menyebabkan kemalangan jalanraya berlaku, pemandu perempuan atau lelaki?

Saya berpaut erat di pemegang atas, saya sebagai penumpang di belakang kereta rasa bergoyangan. Ya allah lajunya. 140km sejam pada tengah malam buta sangat merbahaya! Saya sendiri tidak pernah memandu selaju 140km sejam!

           Sudah beberapa kali saya meminta agar Cik Latifah memperlahankan sedikit kelajuan keretanya. Memang selepas itu kereta BMW tersebut dipandu perlahan, namun kemudiannya kelajun kembali mencemaskan hati saya.                       Mungkinkah kerana saya duduk di bahagian belakang kereta maka, saya terasa lebih laju?. Apabila kita memecut laju seolah-olah saya merasakan nyawa saya dalam bahaya. Tentulah kereta akan hilang kawalan apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga di jalanraya. Contohnya jika haiwan liar melintas.

            Apa yang hendak dikejar saya tidak tahu. Orang perempuan bawa kereta memang laju.

           Jika lokasi majlis itu dekat tentu saya akan memilih untuk memandu sendiri. Oleh kerana lokasi agak jauh adalah lebih baik menumpang kawan-kawan. Jimat belanja, tenaga dan masa. Pergi dengan kawan-kawan perempuan seronok. Boleh berlama-lama di pusat membeli belah dan selalu singgah makan-makan.

           Tetapi jadi tidak seronok apabila semasa pulang Cik Latifah memandu dengan laju, macam ada kucing nak beranak di rumah. Berbeza dengan kawan-kawan lelaki saya yang releks sahaja apabila memandu. Siang atau malam tetap steady, seolah tiada anak bini di rumah.

        Dalam berdebar-debar tersebut saya tertanya-tanya. Adakah orang perempuan memang memandu lebih laju berbanding lelaki dan adakah mereka penyebab berlakunya kemalangan jalanraya di malaysia?

           Maka keesokannya saya mencari statistik kemalangan jalan raya mengikut jantina. Adakah kemalangan yang berlaku di jalanraya pemandunya adalah perempuan dan sebabnya memandu secara laju, dan juga tidak cekap.

            Namun saya perlu memahami apa itu kemalangan jalanraya? Mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, kemalangan jalan raya ditakrifkan sebagai kemalangan atau kejadian yang mana kerosakan berlaku ke atas mana-mana orang, harta, kenderaan, struktur atau haiwan dan berlaku di mana-mana jalan awam termasuklah jambatan, terowong, hentian sebelah, jalan bertingkat, jejambat, plaza tol dan sebagainya.

            Kemalangan jalan raya melibatkan sama ada kenderaan motor, basikal, beca, pejalan kaki dan lain-lain jenis kenderaan.

          Namun semua statistik yang saya jumpa menunjukan bilangan kemalangan jalanraya sejumlah besarnya melibatkan lelaki. Contohnya saya lihat statistik kemalangan jalan raya ikut jantina pada tahun 2017. Mangsa kemalangan  jalanraya yang melibatkan kematian pada tahun 2017 seramai 5,886, manakala perempuan tidak sampai seribu, iaitu hanya 854. Apa yang dapat kita simpulkan sepintas lalu ialah tidak ramai perempuan yang mati akibat kemalangan jalanraya berbanding perempuan.

         Kemalangan pula dibahagi kepada kemalangan serius dan kemalangan ringan. Saya tidak tahu pula apa kateria yang digunakan untuk membezakan antara kemalangan serius atau kemalangan ringan. Kira mati baru serius kot?

      Kemalangan serius melibatkan 2,055 jantina lelaki manakala perempuan hanya 302. Bagi kecederaan ringan 11,122 adalah lelaki manakala perempuan hanya 1,274 sahaja.

         Jadi adakah kita akan lebih selamat apabila menumpang pemandu perempuan?. Tetapi statistik tersebut bukanlah merujuk kepada pemandu, ia merujuk kepada bilangan kemalangan yang membawa kematian yang berada di jalanraya. 

           Saya fikir mungkin pemandunya perempuan? Contohnya kematian 4 penumpang lelaki tersebut keretanya dipandu kereta seorang perempuan. Ini boleh terjadi kematian ramai lelaki tersebut akibat daripada pemandu perempuan! He he he.

           Namun kita tidak boleh buat kesimpulan sebegitu. Kalau ada data pemandu barulah kita boleh buat kesimpulan yang lebih kukuh kerana setakat bergantung kepada jumlah kemalangan atau jumlah kematian, kita tidak dapat menuduh perempuan lebih ramai menyebabkan kemalangan atau kematian.

          Kalau orang tanya jantina mana yang lebih terlibat dalam kemalangan dan kematian (kemalangan kereta) dan kenapa? Kita boleh jawab kaum lelaki kerana mereka lebih banyak masa (lebih lama) berada di jalanraya dan lebih banyak membuat perjalanan dari segi kilometer (ini saya ambil kesimpulan dari satu kajian yang saya baca di negara barat).

            Jika ada orang tanya tingkat umur berapakah pemandu paling selamat dan tidak selamat yang telah menyebabkan kemalangan? Kita boleh jawab umur muda belia kemalangannya lebih tinggi 25% berbanding orang dewasa. Pemandu paling selamat adalah antara umur 60 hingga 69, dan pemandu yang paling banyak berlanggar adalah pemandu umur 80 tahun ke atas. Ini saya dapat dari kesimpulan yang dibuat di negara barat. (Mungkin umur 60 hingga 69 masih sihat, di negara mundur dan membangun umur sedemikaian sudah tidak berapa sihat lagi).

            Apabila saya membaca kaijian-kajian yang telah dibuat, saya dapati (atau tidak jumpa?) apa-apa yang menyokong tanggapan saya bahawa perempuan lebih banyak menyebabkan kemalangan dijalan raya, malah statistik bandingan secara mudah masih menunjukkan kaum lelakilah yang menyebabkan banyak kemalangan kerana kononnya lebih berani memgambil risiko dengan membawa kereta dengan tahap kelajuan yang melebihi had jalanraya.

            Secara logiknya kemalangan jalanraya tidak mengenal apa-apa faktor tetap sebab semua faktor boleh menyumbangkan kemalangan. Katalah kita mahu membeli barang di kedai di kampung kita wahima di kedai depana rumah kita pun ia boleh terjadi kemalangan. Kita mungkin terlupa melihat kiri kanan, dan terlupa melihat kiri kanan ini boleh terjadi pada mana-mana jantina.

           Namun saya akan tetap mencari maklumat tentang pemandu wanita...  

    


Perangai ahli politik, Anuar dan Covid: Isu darurat 2020

Beberapa hari ini saya menerima banyak wasap mengenai isu 'darurat'. Kawan-kawan menyatakannya, bahawa akan ada perintah darurat di negara kita sedikit masa nanti.

Saya tidak tahu dengan detail, hujung bulan dapat gaji saya beli beras, gandum dan Glo (pencuci pinggan mangkuk). Saya manusia yang sangat biasa. Dapat gaji guna untuk sara hidup saya dan keluarga. Saya tidak masuk campur sangat tentang perkara besar yang lain. Saya hanya berdoa orang yang baik akan memimpin, yang jaga bangsa dan agama saya.

Saya hanya tanya kawan saya, saya kena ke beli beras banyak sikit jika berlaku darurat?

Namun kawan-kawan saya mempunyai banyak pandangan mengenai darurat. Ada kata darurat ini adalah kerana faktor politik. Kata mereka PM kita tidak kukuh kedudukannya (sebuah parti yang lemah dalam perikatan yang ada) dan Anuar masih lagi gila nak jadi PM (dan pengikutnya masih lagi gila-gila...juga). 

Dan ada kawan saya yang kata darurat ini kerana Covid makin merebak dan warganegara masih tak reti bahasa nak amal SOP. 2 X 5, pekerja dan majikan.

Dan ada yang menyatakan darurat akan dijalankan kerana faktor politik dan Covid. Kiranya dua faktor bergabung. Kerana kena adakan pilihanraya tetapi dalam masa yang sama bimbang merebak pula Covid.

Bagi saya, apa yang berlaku di Sabah itu juga adalah kerana nafsu politik kita. Wah ahli-ahli politik kita banyak besar atas kepala ada...






Friday, October 16, 2020

Mengapa orang tidak `like' instagram kita?




Kalau kita dalam lingkungan orang yang berumur, tentulah kita tidak banyak dapat like jika kita tidak terkenal. Jangan banyak soal, kalau orang suka dia akan like. Dan perlu diingat juga kalau kita terkenal tetapi orang tidak suka, kuranglah like kita.

Penting ke like ni? Ya ia adalah penting jika like ini merupakan faktor penentu kepada periuk nasi kita. Contohnya dunia perfileman/drama kita dikatakan memilih pelakon yang ramai like, ramai pengikut di istagram sebagai perkara penting dalam pemilihan pelakonnya. Bodoh jugakan. Tetapi apabila sesuatu sudah bertukar jadi business maka gitulah...

Sekarang kita tanya pada kita, pentingkah like ini bagi periuk nasi kita?

Tentulah orang suka banyak like kerana ramai orang sukalah mereka like. Kita rasa dihargai. Kembang setaman. 

Yang sadisnya orang biasa yang tidak terkenal dan tak ada apa-apa keistimewaan, juga mahukan like yang banyak. Tidak ke pelik?

Ada pengikut instagram kita tidak like instagram kita. Gambar-gambar tertentu sahaja yang dia like kerana dia benar-benar suka gambar itu atau kata-kata tersebut. Ini normallah.

Tetapi ada juga bagusnya like ini akan memberikan info kepada kita, sekirannya strategi marketing nak berniaga.

Saya tidak dapat banyak like, tidak pernah sampai 100 orang like gambar yang saya post. 

Perilaku saya, kadang-kadang bertubi-tubi saya post gambar, kadang-kadang hampir seminggu saya senyap jea tanpa posting apa-apa.

Akhir sekali, like ini penting bagi sesetengah orang dan tidak penting bagi sesetengah orang. Dan percayalah ramai orang like kita di dunia nyata adalah lebih baik...


Thursday, October 15, 2020

Hantu di LPT2 dan doa

 

22 November 2016

 

“Kita boleh nampak sesuatu yang mata kita tidak nampak. Biasanya kita namakan ia khayalan atau impian. Namun tidak mustahil pula ia bertukar menjadi kenyataan yang mengejutkan”

 

 

Tidak mungkin hantu wujud, kalau hantu wujud tentulah huru hara dunia. Dan tentulah mustahil orang mati rohnya balas dendam, siap balik pula ke rumah, memasak bagai, dan menuju ke rumah orang yang dia benci dan membunuhnya. Jika begitulah tidaklah berpeluh polis dan makamah mengendalikan kes wanita dirogol dan dibunuh. Setakat saya menulis ini tidak ada lagi kes lelaki kena rogol oleh wanita.

            Dan kesian pula polis mahu menyelesaikan kes orang mati dibunuh hantu...

            Saya tidak pernah melihat hantu. Emak saya dan ayah saya tidak pernah melihat hantu. Begitu juga dengan nenek moyang dan adik beradik saya. 

Cuma kawan-kawan saya ada di antaranya pernah melihat hantu....

Saya tidak pernah menggunakan LPT2 pada waktu malam. Sebabnya jelas, saya bimbang jika terjadi apa-apa di malam hari, ia lebih menyusahkan saya. Contohnya kereta rosak. Saya bukannya takut hantu untuk memandu di LPT2. Macam mana saya mahu takut? Saya tidak percaya hantu wujud.

Ada orang kata hantu itu iblis yang berupa, ini lagi kelakar.

            "Jaga-jaga kalau balik malam Man, dah ramai yang kena" Saya ditegur oleh Faizal semasa sedang berbual dengan Murni, kerani manis di pejabat pentadbiran tetapi agak berisi. Mungkin dia terdengar perbualan kami tentang keberanian balik kampung pada waktu malam. Murni mahu balik ke Pasir Mas Kelantan. Dia mahu balik pada malam hari. saya pula menasihatinya supaya jangan balik malam hari.

            "Tiada keperluan untuk saya balik  malam ehhh" Saya beri respon tapi saya tidak berpaling padanya. Macam biadap pulak rasa. Tapi tak apalah. saya tidak sukakannya.

        "Saya memang tidak pernah balik  malam dan tidak berhasrat untuk mencuba. Buat apa meletakan diri ke dalam risiko? Tambah saya. barulah saya memandang mukanya 2 saat.

"Hantu yang muncul di LPT2 amat mengerikan. Selain berambut kusut masai tidak bershampoo, ia juga melengkapi standard-standar hantu yang pernah kita dengar, contohnya, berbaju putih tidak berfesen dan tidak menjejaki tanah kakinya." Kata Faizal seolah mahu bergurau tetapi serius. Tetapi saya rasa tidak kelakar. Mungkin jika kita tidak suakan seseorang, tidak ada apa yang menarik hati kita. Kejam betul.

"Kalau saya balik malam pun, saya akan balik berdua"

"Kalau balik berdua pun kena juga sebab kita mungkin nampak hantu tersebut tetapi tidak kawan kita" Nampaknya Faizal benar-benar mahu menakutkan saya. Tetapi saya tidak rasa takut. Saya takut gelap apabila malam hari sahaja, he he he 

(Mungkin sebab itulah cerita hantu lebih impak diceritakan pada waktu malam.)

Saya mahu berdua kerana Saya bimbang jika ada kerosakan kereta, saya pitam terus. Saya panik. Itu sahaja sebenarnya.

"Berjalan malam tentu tidak panas. Memang ada kawan-kawan saya suka memandu pada waktu malam. Tetapi tidak saya. Memandu malam seolah suatu yang tidak patut dilakukan. Keupayaan kita untuk menjaga pemanduan terbatas sebab batas penglihatan kita yang terhad." Murni mencelah. Sambil tangannya sibuk dengan kertas-kertas di meja kaunternya. Saya lihat kertas claim kerja luar saya masih tersadai di mejanya. Ya allah lambatnya process!

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada keperluan  untuk membuat perjalanan pada waktu malam. Saya masih lagi memilih waktu siang dan berpendapat jika ada apa-apa yang tidak diingini biarlah pada waktu siang. Panjang sikit langkah dan akal saya" Saya buat-buat mesra, panjang lebar. 

"Bukan saya takut hantu tetapi saya lebih rasa selamat menjalankan perjalanan di waktu siang. Saya tidak percaya langsung hantu menyebabkan kemalangan. Malah bagi saya sangat kolot dan mengarut. Bagi saya hanya orang tidak berpelajaran percaya wujudnya hantu."

"Eh tak boleh en Man kata begitu, mana boleh kaitkan pula dengan orang tak berpelajaran atau orang kampong?"

"Saya tak sebut pun orang kampung..."

"Kamarul kawan saya ada bercerita kononnya di salah sebuah perhentian RNR, kalau tak silap RNR Perasing terdapat hantu yang boleh berupa manusia." Kata Faizal sambil menonjolkan matanya. Saya lihat dia pula macam hantu. He he he. 

"Hantu tersebut akan berupa wajah kawan baik kita. Kawan yang sudah lama kita tidak jumpa. Kawan kita itu pula akan minta tumpang. Dan dalam perjalanan itulah nanti kawan kita itu akan minta kita berhentikan kereta di tepi jalan sebelum dia bertukar rupa kepada bentuk asalnya. Inilah yang menyebabkan kemalangan apabila pemandu terkejut. Terkejut kerana melihat penumpangnya bertukar jadi hantu di sebelahnya."

"Kawan saya juga bercerita ada hantu yang tiba-tiba muncul di tempat duduk belakang semasa kita memandu sendirian. Ada yang tiba-tiba duduk bertengek di hadapan bonet kereta kita. Dan banyak lagi cerita-cerita hantu yang sebenarnya semuanya pernah saya dengar. "



Ini makhluk asing...


"Memang terdapat kemalangan-kemalangan yang berlaku di LPT2 ini. Saya ada membacanya di internat, lihat berita di teleyisyen dan juga lihat dengan mata kepala saya sendiri. Kemalangan yang terjadi mungkin kerana faktor pemanduan dan keadaan fizikal lebuhraya itu sendiri, bukannya disebabkan hantu-hantu yang berkeliaran" Saya menyampuk.

"Kawan saya ada beritahu di sesetengah tempat memang ada tempat `keras'. " Tambah Faizal lagi.

Saya tergelak dalam hati. Saya sudah lali dengan cara manusia menyalahkan hantu dalam banyak hal dan kejadian, padahal mungkin manusia itu sendiri menjadi hantu di jalan raya. He he he.

Sebenarnya saya pernah memandu pada lewat petang, hampir malam. Keadaannya sunyi sedikit. Tiba-tiba saya rasa mengantuk. Namun memandu seorang diri, jadi amat munasabahlah saya rasa bosan dan mengantuk, bukannya sebab hantu sihir. Untuk hilangkan rasa mengantuk Saya kerap berhenti di RnR yang disediakan.

Tiba di satu RNR, saya lihat suasana sunyi. Hanya saya seorang sahaja yang berhenti. Saya mahu ke tandas. Saya merasa seram juga kerana teringat akan cerita-cerita  hantu tersebut tetapi saya tetap juga membuang air. Berehat dan meneruskan semula perjalanan.

Keadaan di RnR ini masih baharu beroperasi, tidak menarik lagi. Mungkin pada masa hadapan ia akan lebih menarik. Tidak hairanlah ramai yang tidak berhenti, bukannya ada kedai buka untuk jual  makanan atau minum siar. kedai semuanya tutup masih tidak beroperasi.

Saya lalu ikut surau sebab sebelah surau itulah tandasnya tadi. Kata kawan saya ada satu kejadian semasa kawan kepada kawan saya tersebut berhenti untuk menunaikan solat subuh. Kawannya itu nampak `sesuatu’ sedang berbuai di tepi surau. Pada masa yang sama semua buaian lain tidak berayun. Dan tiada angin kuat pada masa tersebut. `Sesuatu’ yang sedang berbuai tersebut tiba-tiba melayang ke langit dengan laju seperti bola api…

Ada juga timbul kononnya pembinaan LPT2 ini telah memusnahkan perkampungan jin-jin. Maka apabila ada yang terbunuh oleh pembinaan LPT tersebut makan keluarga jin-jin tersebut membalas dendam untuk membunuh manusia yang lalaui kampongnya. Kononnya jika kita mahu bina jalan, kita kena jumpa dengan tok bomoh yang boleh lihat ada ke tak perkampungan jin-jin tersebut. Sekali lagi saya rasa mahu tergelak, kecewa dan rasa mahu pindah duduk di Afrika... 

Namun mungkin kewujudan cerita sebegini ada baiknya. Apabila kita takut maka kita tidak akan mengantuk dan akan lebih berhati-hati. Otak kita akan ligat berfikir untuk buat banyak andaian dan khayalan.

Ada juga timbul kononnya pembinaan LPT2 ini tidak mengikut standartd maka terdapat jalan-jalannya yang membahayakan pengguna. Sekali lagi saya rasa mahu tergelak, kecewa dan rasa mahu pindah duduk di Afrika...

Kalau kita tidak pandai menari, janganlah kata pentas yang dibina itu tidak sesuai.

Sebelum memulakan perjalanan, pastilah kita berdoa. Berdoa agar perjalanan kita lancar. Berdoa semoga kita dipermudahkan di dalam perjalanan. Semoga dapat tiba di destinasi dengan selamat dan elok. Semoga dapat berjumpa dengan keluarga tersayang. Pun begitu tentulah kita kena pastikan minyak penuh, angin tayar ada, air ada dan engin berada dalam keadaan elok. Itu 4 perkara yang saya kadang-kadang buat. He he he.

Dan kemudia bacalah…

“Bismilaahi tawakkaltu ‘alallahi wa laa hawla wa laa quwwata illaa billaahi”

Yang artinya “Dengan menyebut nama Allah, aku menyerahkan diriku pada Allah dan tidak ada daya dan kekuatan selain dengan Allah saja”.

Lebuhraya itu juga simbolik perjalanan kecil kita di dunia ini. Menuju satu arah. Kita berharap dan berdoa. Dan cerita-cerita hantu tersebut sebenarnya, hanyalah cerita sisiapan hidup yang menemani. Yang menakutkan mewakili kebimbangan kita terhadap perkara yang kita tidak pasti. Dan sebab itulah kita berdoa!

Oh, Faizal tadi keluar begitu sahaja dari pejabat, terima kasih atas cerita hantunya.

Mana ada hantu kan?

 

 

 

 

Tuesday, October 13, 2020

Kereta saya tidak dapat dihidupkan...

 

“Banyak bezanya antara kita dengan binatang. Kita harus selalu berhati-hati dan ikuti aturan hidup. Mesti ada jadual. Salah satunya sebagai manusia kita mesti berdisiplin dan berhati-hati."

 

Kuliah hari ini dimulakan dengan penuh falsafah. Tentang kehidupan. Tidak mahulah masuk kuliah hanya untuk habiskan silibus sahaja. Banyak unsur lain yang harus diterapkan. Biar mereka jadi orang yang berguna. Saya masih lagi bersikap begitu, mungkin saya bekas seorang guru, atau mungkin saya begitu.

Biasanya pada 10 minit minit terawal saya berleter dalam bentuk memberi ingatan dan panduan. Dalam pelajaran dan dalam hidup. Terfikir juga, mungkin ini satu kesalahan dalam profesion saya kerana saya sepatutnya mengajar sahaja. Namun dalam hati kecil saya, roh untuk mendidik sangat menebal, saya tetap merasakan saya betul, apalah gunanya imu yang tingi jika seseorang manusia tidak berhemah. Kalau setakat berilmu, hantu syaitan pun ada ilmunya. Ilmu yang mungkin lebih tinggi.

“Banyak bezanya antara kita dengan binatang. Kita harus selalu berhati-hati dan ikuti aturan hidup. Mesti ada jadual. Salah satunya sebagai manusia kita mesti berdisiplin dan berhati-hati. "Di tengah-tengan dewan kuliah saya kelihatan serius, sambil mengerakkan cermin mata saya berkali-kali. Konon gaya intelek…ada saya tonton saya tengok dalam DVD.

“Berdisiplin itu contohnya datang tepat waktunya. Di mana-mana majlis dan keramaian, juga dalam menghadiri kuliah dan submit projek paper tepat waktunya.” Sempat pula saya perli pelajar yang datang lewat. He he he.

Puas berdiri di tengah-tengah hadapan dewan kuliah. Sesekali saya berjalan ke tengah dewan. Saya mahu suasana tegang menjadi tenang. Biar mudah proses pengajarannya. Beberapa orang pelajar Nampak kekok apabila saya menghampiri mereka. Ya lah, biasanya saya hanya duduk di hadapan sahaja.

Dalam pada itu saya berasa lapar. Saya rasa lapar pula. Hari ini hari jumaat saya mesti makan dahulu sebelum masuk kuliah, kalua tidak saya terpaksa makan selepas jumaat. Kuliah tamat bebetul2 pukul satu, jadi saya harus ke masjid, selepas itulah baru ke kedai makan.

Tadi pagi saya asyik membuat kerja-kerja pengajaran terutama tutorial, termasuk melihat jawapan pelajar. Sehingga saya terlepas waktu makan.

“Kita harus pandai, berdisiplin dan berfikiran positif. Kalau kita tidak pandai bagaimana hidupnya kita ini dapat member manfaat kepada orang lain? Jika kita tidak  pandai, hendak tolong diri kita sendiri pun tidak mampu kan?

“Dan kalau pandai tetapi tidak menolong orang atau bawa kebaikan kepada orang tentu ianya juga tidak berguna. Orang seperti ini bodoh sebenarnya sebab ciri-ciri orang yang pandai ialah membebaskan orang ramai daripada kesusahan atau kebodohan dengan menyenangkan hidup mereka, menolong menyelesaikan masalah masyarakat."

Saya terus sambung kuliah percuma saya. Dan selepasnya saya mulakan kuliah berbayar saya;

Hari ini topik perbincangan kita ialah inflasi...dah baca yang saya suruh?

Selesai kuliah saya bergegas ke masjid.

Selesai menunaikan sembahyang jumaat, saya bergegas ke kedai makan. Namun perjalanan kereta saya tersekat kerana kereta yang parking dibelakang saya menghalang saya keluar.

“Kereta jea besar tapi otak kecil. Menyusahkan orang jea!” Marah hati saya. Namun cepat-cepat saya insaf bila mengingatkan saya masih lagi diperkarangan masjid. Nipisnya iaman aku…bisik hati saya.

Saya pun tunggulah sambal melembutkan hati saya. Sudah tahu menghalang kereta orang, cepat-cepatlah keluar dari masjid. Tak perlulah berdoa panjang dan mayang hajat kalua hidup menyusahkan orang. Sekali lagi hati saya mendidih.

Lama kemudian barulah saya dapat keluar dari perkarangan  masjid kena berhati-hati, kereta banyak dan dipakair sesuka hati. Sebab kawasan pakir tidak mencukupi. Pengguna parking sahaja tepi-tepi bahu jalan. Mahu marahkan mereka pun tidak guna.

Saya singgah makan di kedaii makan kak Chah. Saya ambil nasi dan lauk. Lauk ayam dan gulai nenas. Saya makan seorang diri. Tidak berapa lama kemudian ramai pelajar-pelajar dayang. Saya lihat pelajar-pelajar sudah mulai keruni meja kedai. Pelajar sekolah MRSM ini tak makan di kantin kah?

Saya perhatikan mereka, teringat pula waktu di bangku sekolah. Saya dan kawan-kawan makan ramai-ramai. Walaupun saya tidak bercakap banyak dan diam sahaja, saya tetap ada kawan. Saya bukannya tidak mahu berkawan, Cuma saya jenis pemalu.

Kedai ini terletak di tepi masjid, dan juga padang bola. Kedai makan ini tidak besar bangunannya. Ia adalah gerai sederhana yang dibina oleh pihak majlis daerah. Ada lapan buah kedai semuanya. Semuanya jual makanan. Cuma ada dua buah kedai sekejap buka sekejap tutup. Mungkin bila orang kaya berjual begitulah lagaknya. Itu pendapat kawan sayalah. Ada juga logiknya.

 Biasanya selepas jumaat saya bersama Nizam dan Adnan akan makan di sini. Namun hari ini saya makan seorang diri sahaja sebab kedua sahabat saya itu cuti setengah hari.

Selepas membayar makanan saya terus ke kereta. Saya rasa pelik walaupun saya sudah menekan minyak, kereta saya tidak boleh bergerak ke belakang. Apa masalahnya pula? Saya lihat break sudah diangkat dan gear sudah di `R' yang bermakna saya boleh pandu ke belakang. Saya tekan semula minyak  tetapi masih tidak dapat berjalan. Haaa sudah!

Seingat saya dari pagi tadi kereta saya elok. Semalam pun elok sahaja. Sehinggalah tengahari saya ke masjid tiada kerosakan atau berlaku sebarang perkara yang aneh. Semuanya baik-baik belaka.

Seingat saya dari masjid saya terus ke kedai makan. Tidak ada satu tanda pun yang menunjukan kereta saya bermasalah. Semuanya elok sahaja, tidak meragam. Bateri juga tidak ada masalah rasanya. Kalau nak guna jumper pun payah sebab Adnan dan Ja bercuti.

Saya keluar dari kereta, berdiri tepi kereta. Malu pulak ke pelajar MRSM tersebut. Dan ada pelajar menghampiri, kereta rosak  ke pak cik.

Saya berfikir ini mungkin balasan tuhan atas perbuatan jahat saya. Maka saya ingati apa kesalahan yang saya buat minggu ini. Namun saya rasa biasa sahaja, tiadalah kesalahan atau dosa besar yang saya lakukan. Dalam skala kecil itu biasalah saya bukannya malaikat.

Atau saya tidak melayan emak saya dengan baik? Saya ingati setiap perbualan dan wasap saya kepada emak. Sekali lagi saya rasa ia biasa-biasa sahaja.

Saya mengelilingi kereta saya, saya lihat tayar tidak bocor atau ada apa-apa yang rosak. Saya berdiri sambil cekek pinggang memerhati. Kalau tayar bocor pun tak kanlah kereta tak dapat dihidupkan. Taka da kaitan…

Hendak sahaja saya menalipon Adnan atau Nizam tetapi saya rasa segan. Saya bimbang kereta itu tidak salah apa-apa, sayalah yang salah. Banyangkan jika mereka ada, mereka datang dan ternyata saya yang salah.

Tiba-tiba saya meraba poket seluar saya, ada kunci kereta! Baharu saya ingat rupanya  tadi saya lupa hidupkan kereta!. Macam mana kereta mahu bergerak jika kita tidak hidupkannya?

Ya Allah kenapa jadi begini?

Saya tiba-tiba teringat pagi tadi saya beria-ia mengajar pelajar supaya berdisiplin! He he he.

Perlahan-lahan saya meninggalkan kedai makan tersebut. Saya tersenyum.

 

 

 

 

 

 

Wednesday, October 7, 2020

Andmesh - Hanya Rindu (Official Music Video)

Covid 19: Malaysian Lalai

 


Semalam sudah 4 orang mati akibat Covid 19, namun berita ini tidak menambah gerun di hati rakyat Malaysia. Mungkin mereka sudah terbiasa dengan berita covid. Barangkali selagi tidak melibatkan keluarga dan orang tersayang merela, mereka tidak peduli.

Semalam juga sebanyak 691 kes baru muncul, walaupun ia adalah rekod tertinggi. Saya masih lagi lihat ada yang tidak memakai mask. Saya lihat ada empat orang lelaki tidak pakai mask dan tidak menulis nama mereka di buku log. Mereka terus masuk, manakala penjual sibuk menjual. Barangkali selagi mereka tidak dijangkiti mereka akan rasa tidak akan dijangkiti.

Namun tindakan tidak memayuhi SOP ini sebenarnya meletakan diri, keluarga, masyarakat dan ekonomi negara ke lembah kehancuran. Manakala dengan mengikuti SOP kita sebenarnya menyelamatkan banyak pihak.

Namun itulah, kita sudah mula lupa, mula lalai... Semoga kita cepat tersedar dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya.

Tuesday, October 6, 2020

Selamat tahun baru 2020

 

1Selamat tahun baru 2020

 

 

1 Januari 2020

 

Hidup adalah satu perjuangan dalam menyusuri arus perubahan… Jika kita tidak berjuang dan berubah, kita sebenarnya mati sebelum mati. kita tidak boleh letih dengan kehidupan...walaupun kita sangat pemalas"

  

Tiba-tiba tahun 2020, meninggalkan jauh tahun 1970. Sekelip mata sahaja rasanya umur injak 50 tahun. Umur 50 sudah tidak dikira sebagai tahap remaja, ia sudah mencapai tahap dewasa. Jika pada tahap umur sebegini pemikiran dan perbuatan masih lagi tidak melambangkan kedewasaan, maka ia perlu diubah lagi!

Pada kebiasaan manusia yang berumur 50, mereka sudah mempunyai anak. Malah kawan saya yang berumur 50 sudah mempunyai menantu. Mereka juga biasanya sudah stabil kehidupannya.

Perubahan berlaku melalui masa. Kampung tempat tinggal saya sudah jauh berubah. Paling ketara sudah ada lampu lalulintas dan pasaraya di Kampung Raja. Sesuatu yang tidak pernah diimpikan. Lebih ramai orang bukan asal dari kampong raja sudah menetap di sini. Penduduk semakin ramai. Dan kita tidak lagi mengenali antara satu sama lain. Kita hanya kenal kelompok kita sahaja.

Juga tempat saya bekerja, bangunan baru dan pertambahan dewan-dewan kuliah menyebabkan kawasan kampus semakin sesak. Dan kerja yang harus dilakukan juga semakin bertambah. Membuatkan volume kehidupan bergerak pantas. Tiada masa yang tenang untuk berehat pada waktu kerja. Walaupun tengahari ada waktu rehat tetapi oleh hambatan kerja, makan tengahari tersebut dilakukan dengan tergesa-gesa. Dunia sekarang memerlukan pergerakan yang pantas, jika tidak kita akan ketinggalan dan tidak maju.

Fizikal saya juga berubah. Kini saya lebih gemuk, berkedut. Bertambah ngeri saya teringat dalam satu filem, antara dialognya `bila kita tua kita bukan kelihatan semakin menarik, tetapi hodoh”. Namun saya percaya ketuaan bawa juga sifat positif,kebijaksanaan saya ada sedikit meningkat melalui masa. Sikit saja tau…

Duduk-duduk melihat album lama semasa di universiti rasa sayu. Sayu mengenangkan zaman susah (sekarang ini bukannya senang juga, tetapi ok lah), juga sayu melihat bentuk badan yang tinggi lampai. Malah dalam beberapa keping gambar, saya jatuh cinta dengan diri saya (dan tidak membenarkan orang lain untuk jatuh cinta kepada saya).

Saya beli Sisijay pada tahun 2009, jadi tahun ini tahun ke 13 saya bersama Sisisjay. (Tidak seperti kawan-kawan saya yang lain, saya masih lagi membawa Sisijay selepas 9 tahun di mana segala ansuran telah habis dibayar). Bukannya kedekut tetapi melalui masa, komitmen juga bertambah sedikit sebanyak. Saya akan gunakan Sisijay untuk beberapa tahun lagi.

 Kalau manusia umur 13 mereka berada dalam tingkatan satu, masih mentah dan budak lagi. Tetapi tidak kereta, umur 13 sudah dianggap tua. Itu kesimpulan yang saya dapat apabila menanyakan kawan-kawan saya di pejabat,  "CCJ 8824 saya sudah bergelar kerata lama atau tidak?"

"Kalau lebih dari 5 tahun sudah dikatakan kereta lama." Kata Aida. Salah seorang rakan sekerja saya. Dia juga memandu Myvi untuk ke tempat kerja.

"9 tahun sebab masa tu dah habis bayar." Kata Ayie. Dia datang kerja dengan motor, dan kadang-kadang dengan kereta. Saya tidak tanya pula apakah pertimbangan yang dibuat untuk dia putuskan hari ini sama ada kena pakai motor atau kereta.

"Kalau muncul model baru, barulah kereta tersebut dikatakan kereta lama." Ada juga yang jawab begitu.

Saya tidak puashati dengan penerangan mereka tersebut. He he he.

Kembali kepada tajuk. Saya menjalani hari pertama dengan bersemangat, meninggalkan tahun 2019 dengan tenang. Saya hanya menambah beberapa azam baru (selain beberapa azam yang saya bawa ke hadapan dari tahun-tahun lepas. He he he). Saya tidak sedih dan menyesal atas ketidakjayaan azam tersebut. Malah saya rasa lucu pula.

“Some people are smart, but make all sorts of mistakes in their lives…” dok gitu?

Saya dapati setiap tahun kehidupan saya menjadi semakin mencabar dari segi fizikal dan mental. Fizikal - Mungkin kerana badan saya semakin berusia namun aktiviti fizikal harian saya tidak bertambah perlahan. Kadarnya sama sahaja dengan semasa saya muda. Saya masih lagi lakukan kerja yang sama, naik tanga turun tanga, berlari, berkebun dan mengangkat barang berat. Kata orang apabila sudah tua kita mesti berhenti daripada mengankut barang yang berat. Berapa kilo pula sesuatu barang itu dikatakan berat? Melebihi lima kilo? atau lebih 10 kilo?

Mental – Harus kuat kerana perkara yang dulu dipandang biasa-biasa sahaja tetapi kini memberi kesan pada perasaan. Contohnya dulu apabila lihat orang tua selamba sahaja hati. Kini apabila melihat orang tua teringat emak dan ayah, teringat mak cik kantin, dan teringat suatu hari nanti tentu kita juga tua…(50 tahun tak tua lagi ke? He he he). Juga hambatan rasa berdosa atas kesilapan yang telah dilakukan sepanjang kehidupan ini...

Saya juga merasa janggal apabila membaca apa yang tertulis di MukaBuku. Kadang-kadang saya rasa penulisnya sudah rosak fikiran, dan bodoh. Bodoh kerana memaparkan kebodohan secara besar-besaran. Mereka menulis ikut sedap kata hati sahaja. Tiada lagi adat sopan dan tutur kata yang manis. Saya rasa adat ketimuran kita sudah hilang. Mungkin hanya tinggal segolongan sahaja masih beradap, contohnya mak cik-mak cik dan pak cik - pak cik.. Kadang-kadang mahu sahaja saya membalas komen di MukaBuku tersebut tetapi nanti saya juga akan setaraf dengan mereka jika hilang kawalan fikiran.

Sisijay? Cabaran membawa kereta sentiasa saya hadapi. Seperti kita yang berusia akan menghadapi perubahan fizikal, begitu jugalah kereta. Kereta juga mengalami susutnilai. Sedangkan robot tidak boleh melepasi umur tentertu, inilah pula kereta. Namun setakat ini Sisijay masih boelh berkhidmat dengan baik. Rosak sana sini itu biasalah sebab ia sudah berusia.

Antara azam saya yang penting pada tahun ini ialah untuk mendapatkan lebih rasa tenang dalam diri. Mempunyai keseimbangan yang tinggi apabila berhadapan dengan cabaran. Hidup bukannya mudah… saya sudah tidak mahu terkejar-kejar tetapi dalam masa yang sama masih berada dalam arus perubahan. Bolehkah saya lakukan?

"Hidup adalah satu perjuangan dalam menyusuri arus perubahan… Jika kita tidak berjuang dan berubah, kita sebenarnya mati sebelum mati. kita tidak boleh letih dengan kehidupan..." Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya. Beliau menasihati saya apabila saya rasa down dan rasa nak terjun telaga ha ha ha. Hidup ini memang ada pasang surutnya.

Akhir kata, saya ucapkan `Selamat tahun baru 2020’ kepada pengunjung blog saya ini, sama ada pengunjung tetap atau pun tersalah kunjung, he he he. Semoga tahun 2020 memberikan kebahagiaan dan kesihatan kepada kita, keluarga kita, saudara-saudara kita, dan sahabat-sahabat. Juga hendaknya dimurahkan rezeki dan diberkati olehNya.

Apa pun cabaran mendatang, semoga kita tabah hadapinya. Amin.

Monday, October 5, 2020

Convid terkini 5 oktober 2020

 


Ya allah ya tuhanku selamatkanlah orang-orang yang aku sayangi, dan pernah sayangi... Hanya kepada mu aku meminta pertolongan dan bergantung harap... Amin.

Sharifah Aini ‎– He Is Beautiful To Me (1984)

 

Kulit depan album:  He Is Beautiful To Me


Lagu-lagu:

1. I Don't Care What The People Say       

2. Hello

3. You Know What To Do             

4. I Only Have Eyes For You         

5. You And I       

6. Why Me         

7. He Is Beautiful To Me               

8. Let Me Take You In My Arms

9. With You I'm Born Again          

10.Casablanca   

 

 

Album ini dikeluarkan pada tahun 1984, pada masa saya tingkatan 2.

Saya terlihat album ini di kedai cina, kedai sederet yang terletak di sebelah sisi sekolah saya, Sekolah Menengah Tengku Mahmud. Sekolah saya betul-betul terletak di tepi simpang empat. Pintu masuk utama sekolah mengadap jalan besar untuk ke bandar Jerteh.

Jalan satu lagi jalan sisi yang juga untuk ke sekolah Menengah Nasaruddin Shah. Lintas jalan terus ada kedai sederet. Ada kedai makan kecil, kedai jahit baju juga di situ. Dan kedai cina tersebut bukanlah kedai kaset tetapi kedai runcit.

Di sini ada juga pelajar-pelajar berkumpul menunggu bas sekolah. Dulu kami naik bas sekolah, tidak perlu emak dan ayah hantar bagai. Buat sesak depan sekolah jea. Tahun 80an keadaan masih normal, dan masih tidak diperkosa atas nama pembangunan. Hidup kami jauh lebih simple, semua orang tidak terkejar ke sana ke mari dek KPI.

Kedai cina tersebut adalah kedai runcit, bukannya kedai kaset. Semasa saya hendak membayar aiskrem  di kaunter, saya terlihat di dalam almari belakangnya (almari kaca besar) ada album Sharifah Aini. Biasanya album-album baru diletakan di situ. Saya terus gembira dan memasang angan-angan untuk mendapatkannya.

Sharifah Aini masih lagi sebuah nama besar dunia seni suara tanah air sekitar 80an (era gemilangnya 1970an). Semua orang dengar lagu Sharifah Aini walaupun pada masa tersebut radio adalah satu-satunya medium utama, selain TV. Sharifah Aini juga jarang muncul di TV, dia lebih terkenal di radio. Dan yang mampu beli kaset akan pasang kaset tersebut di radio (yang ada kaset player). 

Tiada CD pada zaman tersebut.

Emak beri saya RM1.20 sahaja sehari. Tambang pergi sekolah 30 sen, balik sekolah 30 sen. Maka tambang sahaja sudah melebihi separuh dari duit saku yang emak beri. 60 sen lagi saya perlukan untuk makan. Saya bukan makluk asing, saya perlu makan. Tak kanlah dari pukul 2 hingga 5.30 petang saya tak makan apa-apa di sekolah...

Harga kaset pada masa tu RM8.75 (kaset original versi ekonomi). Kaset ori bukan ekonomi dalam RM18 atau RM17.85 sen. Itu kaset keluaran syarikat rakaman EMI, sebuah syarikat rakaman antarabangsa. Untuk beli yang mahal kirim salam sajalah, saya bertekad beli yang kecil..

Jadi saya mengharungi hari-hari untuk mengumpul RM8.75 sen tersebut. Bayangkan setiap hari ikat perut...he he he. Kadang-kadang seminggu baru dapat kumpul 80 sen. Dan pada masa yang sama bimbang orang lain akan `sambar' kaset tu terdahulu. Hendak minta duit lebih dengan mak, kita tahu itu bukan keperluan pelajar. Keluarga kami bukanlah orang yang kaya, sehingga sekaranglah...he he he.

Bila kaset tu ada dalam gengaman, tuhan sahajalah tahu betapa berbunga hati saya berjalan keluar dari kedai cina tersebut. Rasa nak terbang segera balik pasang. Masa tu saya rasa bas lambat sangat ambil saya...

Album ini mempunyai banyak lagu yang `best'. Walaupun pada masa itu saya tidak mengenal erti cinta (jauh sekali tahu akibatnya), saya paling suka lagu `Hello', `With you i'm born again', dan lagu `Casablanca".

Kaset ini hilang dari simpanan saya semasa saya belajar di UM. Semasa balik bercuti saya dapati beberapa kaset Sharifah Aini saya hilang😢 . Jebon mana yang pinjam tak tahu...he he he.

Sayangnya album ini merupakan album inggeris terakhir Kak Pah, mungkin juga seterusnya pada tahun 1985, 1986 dan 1987 pendengar sekali lagi mengalih selera dengar ke barat terutama apabila meletopnya album-album baru di barat dunia. Pada masa ini dunia barat kembali dekat dengan telinga masyarakat seperti tahun 60an dahulu. Bayangkan lagu-lagu Madonna, Micheal Jakson dan lain2 lagi meletup!

Pada tahun 2009 muncul album kompilasi lagu inggeris Sharifah Aini 'Datuk Sharifah Aini in Down Memory Lane', terus saya sambar.


Kulit album: Datuk Sharifah Aini in Down Memory Lane

Saya berharap album Sharifah Aini ‎– He Is Beautiful To Me  (1984) ini akan dikeluarkan semula dalam bentuk CD. Ia hampir mustahil tetapi saya masih mengharapkannya...


Sanggupkah kita akan jalani PKP 2.0?

 Sehingga 4 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari







Sumber: http://covid-19.moh.gov.my/


Kalau kita rujuk catar bar di atas, kita dapati semenjak 1hb Oktober, pertambahan kes baru melebihi 100 sehari. Atau puratanya 389.25 kes sehari, iaitu hampir mencapai 300 kes sehari! Dan ia merupakan rekod!

Ia sangat membahayakan! Namun mengapakah kali ini PKP 2.0 masih tidak dijalankan?

Banyak perkara yang perlu dianalisis dalam membuat keputusan PKP. Antaranya kadar kenaikan jumlah kes dalam sehari, kadar kematian dalam sehari dan juga kesan ekonominya.

Sanggupkah kita ditahan lagi di dalam rumah? Kita mungkin sanggup tetapi perlu diingat ia juga membawa kepada kadar pengangguran meningkat semula, dan menganggu pertumbuhan ekonomi, malah mungkin akan menaikan kadar jenayah.

Dan selepas itu, sanggupkah kita selepas itu menghadapi kesan ekonomi yang jauh lebih hebat?

Oleh itu adalah jauh lebih baik kita ikuti SOP!, kita tiada pilihan!

 









Covid 19: Maut muncul semula...😢


3 Oktober 2020



Keadaan terkini covid 19 di Malaysia berada pada puncak yang paling bahaya. Kenaikan mendadak kes baru dapat memberitahu kita secara langsung SOP sudah tidak digunapakai atau sudah longgar.😒 

Rakyat Malaysia sudah mulai lalai dan tidak berkelakuan seperti pada masa mula-mula munculnya Covid 19. Mereka semakin lupa akan kengeriannya. Biasalah benda baru respon tinggi benda lama perlahan sudah responnya. Tetapi jangan biasakan!

Kedua, rakyat Malaysia disiplinnya sudah ke tong sampah. Mereka tidak lagi berdisiplin seperti dahulu. Maka elok sangatlah dikenakan denda kepada yang tidak patuh terutama orang atasan termasuk ahli politik.

Ketiga, ia juga menandakan bahawa Covid 19 ini akan sentiasa ada, dan kita harus sentiasa bersedia.


Perjalanan

 Perjalanan ini semakin singkat, saya memilih untuk menjalaninya dengan terbaik. Saya mahu bertenang selalu.

Saya dan Najihah


 

Ayah saya dan Najihah


 

Gambar ayah

Ini gambar ayah 28 tahun yang lalu, ayah bersiap untuk ke upacara angkat sumpah Ahli Majlis daerah Besut 1992
 

Friday, October 2, 2020

Sejarah penting, maka wajib subjek sejarah dalam SPM

1. Saya amat meminati pelajaran sejarah, namun pembelajaran tersebut terhenti semasa tingkatan 3 (SRP). Apabila masuk aliran sains, tiada mata pelajaran sejarah diajar (SPM). Dan saya kembali belajar sejarah di tingkatan 6 (STPM).

2. Sebelum tahun 2013 matapelajaran sejarah tidak diwajibkan untuk lulus SPM. Kini mata pelajaran sejarah duduk sama tinggi dengan matapelajaran Bahasa Malaysia di peringkat SPM. Pelajar mesti lulus.

3. Pada masa tersebut menteri pendidikan Tan Sri Muhyiden Yasim (sekarang perdana menteri) dan menteri pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh (sekarang Pengerusi FELDA) mahu menekankan betapa pentingnya matapelajaran sejarah dalam  membentuk jati diri wargenegara.

4. "Tanpa mengetahui sejarah, kita tidak akan hargai apa yang negara kita capai sekarang " Itulah kata Datuk Seri Idris Jusoh.

5. Saya berpendapat seorang guru sejarah menghadapi cabaran besar dalam menyampaikan pengajarannya, bukan mudah mahu praktikan `kesejarahan' pelbagai cerita-cerita ke hati sanubari pelajar.

6. Pelajar kita malas membaca (ikut perangai ibubapa dan masyarakat mereka), `reading' subjek bukanlah makanan kepada pelajar atau manusia yang malas membaca. Mereka mungkin menguap apabila membaca (walaupun dalam hati).

7. Cikgu sejarah perlu mempunyai personaliti menarik dan kaedah menarik untuk tarik perhatian para pelajar. Sejarah bercerita, dan dari cerita itulah timbulnya pengajaran yang membentuk jati diri.

8. Namun hambatan `result' sekolah yang cantik menyebabkan cikgu mengajar dan pelajar mesti mengingati (untuk diceritakan semula di kertas periksa).

9. Ya, kesan dan pengajaran ada dipelajari namun ia tidak meresap kesanubari. Ia hanya jadi nota-nota biasa seperti seperti subjek-subjek lain. Sedangkan sejarah penting untuk kita menjadi dewasa. Sejarah mengajar secara terus...dan benar,



Doa buat kekasih 
...







Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home