21Emak adalah ubat bagi kesakitan sebuah kehidupan…, dan
saya kena hon!
24 Januari 2010
“Apabila kita lihat muka emak kita, kita nampak wajah kasih
sayang yang paling tulus. Paling indah, damai dan paling jujur…Tiada cinta yang
murni setulus cinta seorang emak…”
Hari ini saya rasa sangat gembira. Maksud
hari ini itu juga termasuk hari-hari sepanjang minggu ini. Sepanjang minggu ini
daun lebih menghijau di jiwa, bunga-bunga lebih mekar di jiwa. Langit semakin
cerah, dan awan membiru.
Apabila emak datang
bertandang ke Muadzam, dan duduk lama menemani saya, saya rasa bertuah. Rasa bertuah
itu membuatkan, menjadikan dan membolehkan saya tersenyum lebar. Tanpa sedar,
tersenyum seorang diri. Bagai mendapat sebakul emas.
Dalam gembira itu,
saya tetap risaukan keadaan ayah di kampong. Ayah akan tinggal keseorangan. Namun
hati saya kembali lega apabila teringatkan jiran sebelah-menyebelah. Jiran
sebelah menyebelah sangat rapat. Rumah sebelah kiri merupakan rumah pak saudara
saya sendiri. Adik ayah saya. Dan jiran sebelah kanan pula merupakan sahabat-sahabat
ayah dan mak, semenjak mereka remaja lagi. Bertuah sungguh kan?
Setiap kali emak saya
datang, saya akan bawa mak berjalan-jalan dengan Sisijay. Saya akan bawa mak ke
supermarket-supermarket di sekitar Muadzam. Saya bawa emak ke Tunas Manja,
Pasaraya Pantai Selamat dan juga pasar biasa di hujung kampong. Emak saya sudah
gembira dengan tempat-tempat sebegitu. Emak memang suka naik kerata dan makan
angin.
Saya juga bawa emak
saya ke salon. Sejak muda emak suka ke salon. Emak suka `buat’ rambut. (Sedari
kecil saya lihat emak suka mengayakan rambutnya. Di rumah kami dulu di atas dressing table mak, ada rambut palsu). Saya
selalu juga mengikut emak saya ke salon. Dan kadang kadang saya juga turut
terjebak `buat rambut’. Dan kini saya telah mewarisinya, saya anak emak yang
paling kerap ke salon.
Saya suka memandu
apabila di sebelah saya ada perempuan yang paling saya sayangi. Sejak saya
kecil sehingga dewasa, emaklah perempuan yang paling saya sayang. Sukar untuk
saya gambarkan rasa `sayang’ yang bermukim di hati saya. Perasaan yang tiada
ternilainya di dunia ini. Mungkin ini rasa sayang seorang anak kepada emaknya.
Semua anak-anak merasainya.
Dan dalam keadaan
genting sebegini, emaklah kekuatan saya…Dan bagi anak-anak lain juga, dalam
keadaan tertentu, emaklah kekuatan kita. Nak harapkan pasangan…tak adalah kan?
“Orang bodoh saja yang
akan tinggalkan abang…” Kata emak saya pada suatu hari, pada suatu ketika dulu.
Emak tahu ada gerhana dalam hati saya. Gerhana yang hinggap di atas dahan
kehidupan saya. Saya tidak perlu banyak bercerita, sekali imbas emak saya tahu
hati saya patah. Sekali imbas emak saya tahu jiwa saya punah. Dan emak seolah tahu
saya akan berjaya harunginya!
Emak selalu ajar saya
bahawa di dalam dunia ini lebih ramai orang yang baik dan dunia ini sudah cukup
untuk saya apabila saya menyatakan;
“Mak dalam dunia ini lebih
ramai orang yang jahat dan pentingkan diri, dan dunia ini tidak berikan apa
yang abang mahu…”
“Kalau lebih ramai
orang yang jahat, rosak binasalah dunia ini. Huru haralah keadaan. Ramai lagi
orang yang baik, mungkin abang belum jumpa…” Balas emak dengan lembut.
Seorang emak
begitukah? Seorang emak itu perlu mempunyai sikap yang sederhana tetapi
berkesan. Kan?
Adakah setiap emak
begitu? Atau adakah emak saya sahaja?
Sambil memandu sesekali
saya pandang wajah emak di sebelah, dan terus cepat-cepat pandang hadapan jalan
raya semula. Kalau tidak bahaya, saya masih tidak mahir.
Saya lihat emak
kelihatan sungguh selesa berada di sebelah. Dalam sekali imbas saya lihat emak
saya sudah tua. Kulitnya sudah berkedut, renungan matanya sudah syahdu. Yang
ada ialah rasa kemudaan hati untuk terus meneruskan kehidupan, untuk saya dan
keluarga lain. Dan juga untuk buat rambut.
Tidak sangsi lagi
emaklah orang yang paling sayangi saya di panet bumi ini.
Ya allah jagalah mak
saya ini…
Walaupun saya memandu
dengan perlahan-lahan, mak saya tidak memberikan sebarang komen. Seolah-olah
tiada suatu yang janggal pada corak pemanduan saya. Mak tetap memandang ke
depan, dan sambil2 menceritakan pada usia remajanya, emak pernah tinggal di Kuantan.
Mungkin bagi emak
sayalah pemandu paling mahir di dunia. Paling cemerlang dan pastinya paling
bersopan santun di jalan raya. He he he.
Kedatangan emak
menjengok saya memang memberi saya kegembiraan yang tidak terhingga. Saya
percaya kegembiraan ini tidak dapat dibeli oleh Bill Gates atau sultan Bruenai
(dan saya tidak akan menjualkannya).
Seperti saya, emak saya
juga suka bersiar-siar (atau saya suka bersiar-siar seperti emak). Ayah pula jika
datang menjenguk saya akan lebih kerap terperap di rumah. Ayah lebih suka
membaca akhbar di muka pintu. Biasanya ayah akan menggunakan sebiji bantal
untuk menyandal kepalanya. Kenapa di muka pintu? Saya rasa tentu ayah sekali sekala
mahu memandang ke luar. Lihat pemandangan yang berbeza dari kampong.
Secara purata emak
saya lebih kerap datang menjengok saya. Dan kini emak lebih lebih lagi kerap
datang. Mungkin kerana mak saya tahu sekarang saya sedang luka... benarlah perempuan
adalah ubat kelegaan yang paling mujarap. Apatah lagi mak kita sendiri.
(Namun harus diingat
perempuan juga sebisa-bisa racun, sejahat 1000 iblis).
Hujung minggu, apabila berada di Kuantan,
saya bawa emak ke Megamall, Kuantan Perade, Kamdar dan Giant. Dari pemerhatian
saya emak lebih suka ke Giant. Mungkin di Giant ada banyak barang yang boleh
dibeli kerana harganya murah. Emak saya suka membeli, sama seperti saya. Namun
emak saya lebih juara. Emak saya akan membeli suatu barang tanpa ragu apa
kegunaannya nanti! He he he.
Di Giant tempohari saya
belikan emak selipar School. Harganya agak mahal tetapi saya tidak perlu
berkira untuk orang yang saya sayang. Saya rasa pembaca juga begitu, kalau kita
ada duit tentu kita akan beli apa sahaja untuk mak tanpa berfikir lagi.
Kasut istimewa itu
khas untuk emak saya. Tentu dari muda mak selalu pakai kasut keras. Kasut School
ini lembut. Saya juga pilih yang tapaknya tipis supaya tidak membahayakan emak
saya. Zaman muda dulu emak pakai kasut tumit tinggi. Kini tumit rendah sesuai untuk
usia emak.
“Sebenarnya abang terlebih
dahulu berlatih memandu di sekitar bandar semata-mata mahu bawa emak ke bandar.
Abang masih lagi tidak cekap dan rasa takut apabila memandu di bandar ni.” Saya
memberitahu emak.
Saya percaya hanya
dengan kemahiran dapat memperlahankan debaran ketakutan saya. Setiap kali saya
bawa kereta di bandar Kuantan, saya rasa cemas sebab selalu dihon. Tetapi saya
lakukan juga pemanduan yang mendebarkan demi mak saya. He he he.
“Jauh beza mak kalau
kita bawa kereta di Bandar Muadzam dan di Bandar Kuantan. Di Kuantan kita kena cekap dan cepat. Jika kita lambat
atau tidak cekap, ia menyusahkan orang. Orang akan marah... mereka
kadang-kadang macam tidak sabar…” Panjang lebar saya beritahu emak.
“Abang selalu berlatih memandu ke Kuantan
Perade, Megamall dan nurseri di Teluk Cempedak. Abang juga sudah memandu ke
Tanjung Lumpur semata-mata mahu menikmati nasi kerabu..” Beritahu saya pada
mak.
Saya lihat emak saya
memandang ke depan. Saya tidak tahu apakah yang sedang di fikir oleh mak saya.
Mungkin emak teringatkan ayah? Tentulah emak teringat sebab ayah itu suaminya.
He he he.
“Abang juga berlatih
bawa kereta keliling terminal bas yang berdekatan dengan stadium, manalah tahu
nanti kena hantar barang atau orang, atau ambil Najib” saya sambung.
Memandu di bandar
berbeza dengan memandu di kampung. Di bandar lebih banyak jalan, lebih banyak
lampu isyarat, lebih banyak papan tanda. Tentulah lebih banyak kereta yang
dipandu oleh manusia yang mahu cepat. Semuanya kena cepat. Hendak membelok juga
harus dibuat awal keputusannya. Jika tidak ia akan menyebabkan kesusahan kepada
orang lain.
“Mak, Abang tidak
mahir sangat lagi ni, abang bawa slow
je.”
Beberapa kali saya
beritahu mak tahap keselowlan pemanduan saya. Saya beritahu mak, saya bawa
perlahan-lahan sahaja. Saya bimbang mak saya takut apabila melihat saya tidak
lancar bawa kereta. Tetapi yang anehnya mak saya tidak kata apa-apa pun. Mak saya percaya saya boleh buat.
“Tidak apalah,
lama-lama pandailah, harus selalu berhati-hati.”
“Ya tapi abang masih
berdebar-debar walaupun sudah setahun lebih bawa kereta, lama dah tu. Kalau orang
lain tentu sudah mahir.”
Di suatu simpang
bandar, mak saya bertanya kenapa banyak kereta hon kereta saya.
“Abang bawa lambat…”
Saya jawab dengan selamba, tersengeh.
“Lambat tak apa, asal
ikut peraturan, tak membahayakan diri dan orang lain”
“Tapi bang memang lembap giler mak, bawa
kereta”
Saya sempat berpaling
sekejap. Saya lihat emak saya tersenyum.
No comments:
Post a Comment