40
Pantun lara di Pantai Kemasik
“Apabila
rasa sedih melihat pantai, ianya bukan kerana pantainya yang berubah wajah
tetapi hati kita yang gundah. Pantai cermin perasaan…”
"Semua orang ada ketika-ketikanya suka melayan perasaan. Samada secara langsung atau tidak langsung. Apabila melihat
laut, perasaan Abang membuak. Abang melayan perasaan...ingatkan kita"
x x x
Kini untuk balik ke kampong halaman di Besut, saya
mempunyai dua pilihan, samada menggunakan Lebuhraya LPT2 atau `Jalan Pantai'. Saya
biasanya menggunakan LPT2 dan jarang sekali menggunakan Jalan Pantai. Sebabnya LPT2 lebih pendek perjalanannya, lebih sunyi dan tidak ada banyak kereta. Saya tidak akan selalu berdebar.
Namun jalan Pantai juga mempunyai kelebihan. Jalan pantai ini adalah jalan yang terletak di
sepanjang pantai negeri Terengganu. Kita akan melewati banyak daerah sebelum
sampai ke daerah Besut yang paling ke utara.
Saya tinggal di Kampung Paya Rawa, kampong Raja. Lihat peta di bawah, sebagai rujukan.
Saya tinggal di Kampung Paya Rawa, kampong Raja. Lihat peta di bawah, sebagai rujukan.
Pantai Kemasik |
Sepanjang negeri Terengganu kita akan
dapat lihat banyak pantai-pantai yang indah. Awal bulan ini saya balik ke
kampong menggunakan Jalan Pantai. Sepanjang jalan banyak pantai-pantai yang
menarik. Namun saya selalu singgah di Pantai Kemasek.
Selepas pakir kereta saya terus
berjalan-jalan di pantai ini. Namun cuaca yang terik menyebabkan saya tidak
boleh berlama lama, saya terus mencari bangku tempat berteduh. Bimbang kulit saya
yang hitam bertambah hitam. Bukannya salah jika kulit saya bertukar hitam tetapi saya tidak manis.
Tidak akan ada orang kata saya `hitam manis’, mereka akan kata saya `hitam legam’. He he he.
Saya suka duduk berlamaan di pantai Kemasik. Malah
saya boleh duduk sehari suntuk, atau selama-lamanya. Pantai adalah tempat yang
indah tidak berbayar.
Bila duduk di bangku ini saya mabuk dalam kelaraan.
Kelaraan ini menghanyutkan saya dalam khayalan rasa yang jauh dari realiti. Sakit yang paling sakit adalah sakit hati kerana
orang yang kita sayangi tidak sayangi kita... Malah menipu daya. Itulah sakit
yang paling hebat di planet bumi. Namun anehnya dalam kesakitan ini kita terasa juga akan bahagianya. Mungkin kerana apabila hanya kesedihan yang tinggal, maka kita mahu tidak mahu, perlu rasa bahagia... Entahlah.
Pantai Kemasik, pasirnya cantik dan persekitaran dipelihara
dengan baik. Jika sentiasa diadakan usaha untuk memelihara dan mengindahkan
lagi persekitarannya ia akan menjadi tempat persinggahan yang lebih hebat. Juga tempat hati yang lara singgah.. Emmm...
Duduk di bangku ini serasakan saya
sedang menjalani satu perjalanan yang dipenuhi hujan.
"Kalau hujan ini akan menerbitkan pelangi..., bilakah hujan ini akan berhenti?" Detik hati saya, melayan perasaan.
"Ah...semakin tua semakin menjadi, makin jiwa sensitif..."
"Kalau hujan ini akan menerbitkan pelangi..., bilakah hujan ini akan berhenti?" Detik hati saya, melayan perasaan.
"Ah...semakin tua semakin menjadi, makin jiwa sensitif..."
Saya duduk di bangku panjang di tepi pantai. Di hadapannya terdampar Laut Cina Selatan yang luas membiru. Bunyi deraian ombak menghempas pantai seakan irama dari sekeping hati yang tidak pernah
tenteram... Teringat lagu Uji Rasyid `Kuingin selalu di sampingmu".
"Kalau kuturutkan hati lautan luas
akanku semberangi..." Saya terus melayan perasaannya. Bagai anak muda berumur 17 tahun, bagai kuda liar yang galak berlari...
Dalam diam saya cemburu kepada pantai Kemasik...(pulak). Dia miliki laut
yang gagah, dan ombak pantai yang setia. Walau zaman berubah, selamanya mereka
bersatu. Tidak sesaat terpisah.
Seperti laut yang ada gelombang
begitulah jua hidup manusia kan?. Cuma berbeza dengan gelombang yang kadang-kala
reda, ada hati yang tetap bergelora. Hingga hujung nyawa.
Ada yang berpendapat hidup ini adakalanya ibarat seorang manusia yang sudah bertahun-tahun diiringi hujan yang
tidak berhenti... Dan kita sebagai manusia mahu hujan itu berhenti... Kita mahu
melihat pelangi... Namun hujan terus berpanjangan...
Hidup sendirian melayari kehidupan memerlukan kekuatan yang bukan sikit...tanyalah orang yang seperti saya... He he he.
Singgah setulang di pantai Kemasik, terhasillah empat rangkap pantun. Namun saya perturunkan hanya tiga rangkap
sahaja sebab satu rangkap lagi terlalu berunsur seksualisme. Tidak bagus untuk
bacaan umum. Tiga rangkap pantun lara itu mudah maksudnya, tetapi mewakili seluruh
perasaan di jiwa saya.
Saya namakan `Pantun Rindu Abang’:
`Pantun rindu Abang’
Berhenti sekejap bukan
sengaja,
Merehat lara di Pantai
Kemasik;
Duduk Abang bermurang
durja
Hati sakit ingatkan
adik...
Pantai Kemasik indah
sekali,
Pantai putih laut membiru;
Abang lupa tidak
sesekali,
Tidak letih menahan
rindu..
Angin menderu di waktu
petang,
Ramai orang singgah
berhenti;
Pantai sunyi Abang
seorang;
Tapi adik ada di hati...
Jika saya ada masa dan kesempatan,
saya akan menulis novel kisah cinta saya. Setiap mukasurat yang ditaip diiringi
dengan airmata kasih saya, he he he....(saya berangan tetapi saya tidak pandai menulis...)
Setelah berehat melayan perasaan atau
kadang-kadang melawan perasaan, saya bangkit dari bangku untuk meneruskan
perjalanan. (Walaupun telah lama dia berhijrah dari daerah cinta saya, sebuah perjalanan harus diteruskan...)
Dalam perjalanan sebuah kehidupan, semua
orang ada ceritanya.
No comments:
Post a Comment