Dewasa ini untuk muncul sebagai seorang penyanyi yang berjaya, suara bukanlah satu-satunya ukuran yang paling penting. Dalam banyak keadaan, faktor-faktor lain turut memberi kesan yang mendalam dalam membantu kerjaya mereka.
Tidak ada seorang pun mengakui Anita Sarawak mempunyai suara yang lemak merdu. Malah agak janggal jika suara beliau dikategorikan sebagai lemak merdu. Ada kemungkinan Anita Sarawak sedar akan kelemahan yang ada pada suaranya berbanding dengan kemerduan biduanita Sharifah Aini (Kak Pah) atau biduanita Saloma. Namun sebagai penghibur yang mempunyai wawasan, beliau terus berusaha keras mengorak langkah dalam bidang seni suara. Dan akhirnya Anita Sarawak muncul terkenal bukan sahaja sebagai penyanyi yang Berjaya tetapi juga penghibur.
Kekurangan dari segi suara tidak menjadi halangan bagi sesetengah penyanyi. Setelah kerja kuat, berdidikasi dan berdisiplin, Anita Sarawak muncul antara penyanyi wanita Melayu yang istimewa, juga sebuah nama besar industri.
Kesimpulannya, suara bukanlah suatu yang utama untuk berjaya dalam bidang seni suara Malaysia. Ramai juga penyanyi kita yang bersuara bagus tetapi sekarang di mana mereka dalam peta industri seni suara kita?. Contohnya, Azian Mazuan Sapun, Azlina Aziz, dan Bob AF. Sekadar menyebut beberapa nama.
Walaupun suara Kak Nita, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid tidaklah merdu ditellinga saya. Namun saya tetap membeli CD mereka kerana mereka miliki lagu yang hebat dan dinyanyikan dengan penghayatan yang baik sekali. Sesuai dengan personaliti. Sedap didengar.
Seperti Datuk Sheila Majid, Anuar Zain juga termasuk dalam katogeri Anita Sarawak. Sedap mata memandang, unik dan ada imej tersendiri. Pun begitu mutu vokalnya masih rendah dan tidak setanding dengan penyanyi Aisyah, Liza Hanim (saya berpendapat suara Liza Hanim lebih merdu berbanding Siti Nurhaliza, cuma nasib Liza Hanim agak berbeza) atau Bob AF, suara mereka masih sedap didengar.
Maka siapakah penyanyi Malaysia yang berjaya mencipta nama kerana mempunyai bukan sahaja kesungguhan, kecantikan dan pandai membawa diri...malah bersuara merdu?. Memiliki pakage yang selengkap?
Lemak merdu
BERCAKAP mengenai mutu suara Datuk Sharifah Aini pula, pada zaman kemuncak popularitinya, media massa negara terpaksa mencipta satu perkataan baru untuk menerangkannya. Perkataan tersebut ialah `lemak merdu' (nasib baik tak lemak berkrim, he he he). Dan sampai sekarang masih tidak kedengaran lagi panggilan ini untuk penyanyi lain sama ada di teleysiaon, radio atau majlis2 lain. Sebabnya? Sebabnya memang tak ada. Mungkin ada yang merdu tetapi tidak berlemak. (pulak dah).
Saya tidak berpeluang mendengar Kak Pah menyanyi secara langsung di hadapan saya. Namun melalui dvd dan internate saya pernah melihat dan mendengar suaranya bila beliau membuat persembahan. Bukan mahu berbombastik, namun mendengar suaranya bercakap pun kita tahu suara nyanyiannya sedap (macam kueh pulak, maksud saya suaranya merdu).
Dan apabila suara tersebut dilenggang- lenggukan ia sangat membuai perasan, sangat mengasyikan... Dan kita tidak hairanlah di zaman popularitinya ada ustad yang pergi laungkan azan di hadapan pintu pagar rumahnya...Suara itu amat mengasyikan...
Patah perkataannya jelas, bersih dan terang. Sebutan `d', `t', dan `s'nya jelas. Kita tidak perlu melihat lirik lagu untuk merujuk patah sebutannya. Bukan sahaja jelas dan terang, kak Pah tahu untuk wujudkan penekanan pada patah diksi yang tertentu. Ini penting untuk penjelasan maksud yang menjurus kepada perasaan yang timbul di telinga pendengar dan perasan yang di rasai hati bagi tuntutan penciptaan lagui tersebut.
Patah sebutan
SEORANG kawan saya Adnan pernah memberitahu bahawa Kak Pah telah meletakkan lagu nyanyiannya pada satu tahap di mana sukar untuk orang lain nyanyikan. Menurut beliau, contohnya perkataan `maaf' dalam lagu Tiada Maaf Bagimu dibunyikan dengan gaya yang tersendiri, unik dan mencapai tahap perasaan yang mendalam. Melambangkan perasaan hati sayu sedih penceritaan kisah dalam lagunya.
Suara nyanyian kak Pah membuatkan saya dibuai. Sebab itulah saya tidak akan menanda kertas pelajar saya sambil mendengar suara Kak Pah. Bimbang nanti semua dapat A. Saya pasang lagu dari suara lain sebagai latar belakang supaya saya tidak boring. Sekadar tidak sunyi.
Mutu suara Kak Pah dari segi kejituan sebutan dan kesinambungan nafas apungannya memang teratas sekali. Tidak ada yang boleh menandingi beliau. Bagi saya yang paling hampir adalah Kartina Dahari (seorang biduanita Singapura).
Lagu Melayu Kak Pah
Secara peribadi suara apungan Kak Pah dalam lagu pop agak sederhana berbanding dengan penyanyi zaman kini, namun hasil nyanyian lagunya sangat berkesan. Suara apungannya sedikit terkawal bila nyanyi lagu pop. Sama seperti sukarnya bagi biduanita negara Saloma mahu menyanyikan lagu bernada tinggi.
Namun ia bukanlah menjadi suatu masalah kepada Datuk Sharifah Aini. Ini adalah kerana pada zaman kegemilangan lagu-lagu popnya yang meletup kerana dicipta khas untuknya oleh Ahmad Nawab. Tentulah Ahmad Nawab mengetahui kelebihan dan kekurangan suara Kak Pah.
Kak Pah memang boleh bawak lagu Melayu dengan baik, tiada masalah langsung kepadanya. Begitu juga dengan lagu inggeris yang dinyanyikan dengan caranya sendiri (18 buah album inggeris|)
Pada zaman 70an, lagu-lagu dicipta ada unsur kemelayuan bercampur unsur timur tengah sekali. Terasa sangat kenusantaranya. Kak Pah Berjaya menyanyiaknnya dengan baik. (Keadaan sekarang mula berubah apabila banyak lagu dilahirkan secara ala barat).
Namun Kak Pah terus menyanyi lagu Melayu yang membawa worldview Melayu. Pada pertengahan tahun 1980an, apabila berlaku perubahan aliran muzik, Kak Pah turut sama berusaha melahirkan lagu Melayu yang agak modern tetapi masih padat dengan unsur Melayu, contohnya album Kasih (1987).
SEIRING dengan usia melebihi 60 tahun, suara Kak Pah sudah berubah. Sebagai peminat setia saya mengaku adanya perubahan berlaku. Pada satu-satu ketika suara livenya kedengaran kasar dan serak. Ini diakui sendiri oleh beliau yang sentiasa merendah diri. Namun kalau difikir secara logik memang begitulah disebabkan faktor umur. Dan jika dibuat pada tahap pengukuran umur, memang pada tahap ini Kak Pah masih lagi berjaya menyanyikan lagu dan membuktikan beliau bersuara merdu. Ramai penyanyi seangkatan dengannya juga telah berubah suara. Connyohnya saya berpendapat suara merdu Uji Rasyid sudah banyak berubah.
Faktor usia boleh merubah suara, tidak adil membandingkan suara penyanyi lama dan baru secara langsung. Sedangkan Ziana Zain dan Aisyah juga sudah kedengaran beberapa kekenduran, keserakan dan kesemputan. He he he.
Pun begitu secara purata Kak Pah masih berada teratas sekali di carta hati saya. Suaranya boleh ditujukan menjadi begitu besar dan bertenaga. Dua perkara ini penting bagi penyanyi yang mahu menyanyi bersama okestra. Namun untuk menyanyi secara besar dan bertenaga selama 3 jam berturut turut selama 3 malam bukanlah suatu yang senang untuk dilakukan. Kak Pah telah membuktikannya di dalam dan di luar negara...beliau mampu.
Sekian sahaja, saya tidak boleh menulis mengenai Kak Pah kerana ia akan menyebabkan saya tidak mahu berhenti menulis. Terlalu banyak kisah yang boleh memberi inspirasi kepada kita dan penyanyi-penyanyi baru. Dari seorang budak yang menjual kueh beliau muncul sebagai seorang biduanita negara. Satu kisah yang sangat boleh dijadikan semangat dalam mengharungi kehidupan kita.
Saya doakan biduanita negara kita ini cepat sembuh, amin.
Abang Jan: Tengah giat mendengar lagu-lagu raya Kak Pah yang belum didengar lagi. Kak Pah ada berpuluh-puluh lagu raya lain yang jarang diputarkan di radio...