Saya tarik selimut berbunga pink saya sampai ke dada. Sekarang musim sejuk sudah melanda, bila petang hujan-hujan turun basahi muka bumi Muadzam. Sebasah hati saya.
Sepanjang malam saya gelisah, saya tidak dapat tidor lena. saya banyak berfikir dan saya terbayang t riaksi wajah emak dan ayah apabila saya beritahu saya akan berpindah kerja di Bangi. Tempat kerja saya sekarang akan ditutup.
Minggu lepas saya balik kampong, saya sempat sampaikan berita sedih itu pada emak. Dan segera juga saya dapat melihat kesedihan di wajah emak.
Ayah pula tenang sahaja. Ayah memang begitu. Saya rasa jika saya bertukar menjadi beruang pun, ayah saya tetap tenang. He he he.
Saya tiada pilihan selain daripada menurut perintah majikan. Majikan mempunyai kuasa mutlak untuk meletakan pekerjanya di mana sahaja mereka rasa bersesuaian. Tidak mahu menuruti arahan majikan bererti pekerja tersebut ingkar akan tanggugjawab dan ia boleh diambil tindakan yang berat. termasuk dibuang kerja.
Saya tidak mahu dibuang kerja. Dengan usia saya, muka saya (walaupun guna Loreal) dan kelayakan yang saya ada, mustahil saya dapat bekerja dengan selesa di organisasi lain selain tempat saya bekerja ini. Malah dalam langskap ekonomi sekarang, ramai yang lebih berkelayakan dari saya tetapi masih tidak ada peluang rezeki untuk berkerja. Orang yang ada PHD juga masih sukar untuk jadi tenaga pengajar di universiti. Naik tangga dan turun tangga untuk temuduga. Tidak semudah dulu.
Saya pandang siling, saya pandang kipas yang berpusing perlahan. Saya bangun dan tutup suis kipas tersebut. Saya ke katil semula. Sambil terbaring manja saya lihat ada sawang di bilah-bilah kipas. Saya perlu membersihkannya nanti...
Kalau boleh memanglah saya tidak mahu berpindah kerana banyak masalah akan timbul. Selain masalah kewangan (terpaksa menyewa mahal di sana, saya tentu hanya mampu sewa bilik. Dan harga sewaan bilik mahal), saya juga mahu bersama emak dan ayah menemaninya dalam saat-saat akhir kehidupan mereka. mereka sudah sangat tua... Di tempat kerja sekarang, senang bagi saya untuk balik kampong jengok mak dan ayah.
Kalau saya ada banyak duit atau harta, memang saya mahu berhenti sahaja kerja, namun apakan daya.
Jadi seminggu ini saya asyik teringat akan perpindahan saya. Bangun tidor ingat, masa kerja ingat, dalam sembahyang juga teringat, dan bila nak tido malam pun teringat. Maklumlah perubahan besar akan berlaku.
Saya harap perpindahan ini tidak dilaksanakan, namun jika berlaku juga perpindahan saya harap saya akan menjadi lebih kuat dan positif. Manalah tahu ada keuntungan besar dari perpindahan itu untuk saya dan keluarga saya.
Ya, walaupun sekarang hanya kerungsingan yang bersarang, dan keuntungan itu agak jauh samarnya saya tetap berdoa... Saya teringat kata-kata emak saya semasa saya mahu meninggalkan kampong saya. Di pintu pagar rumah emak berpesan:
"Abang dan kawan-kawan abang kena banyak berdoa...emak akan sembahyang hajat..."
"Abang dan kawan-kawan abang kena banyak berdoa...emak akan sembahyang hajat..."
Saya lihat jam sudah 2.50 pagi. Saya perlu tidor untuk bangun cergas esok.
Saya harap dalam jam-jam yang singkat ini mimpi-mimpi saya indah...
2 comments:
Semoga perpindahan tersebut membawa hikmah yg bermanfaat ...dpt saya bayang bagaimana perasan encik sukiman...
terima kasih amilia
Post a Comment